IPOH: Polis telah menahan seorang pemandu treler selepas muatan siling yang dibawanya terjatuh menimpa sebuah kenderaan lain di Kilometer 69, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, seperti yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, hasil siasatan pihaknya, mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11 pagi, 29 Oktober lalu.

Menurutnya, kemalangan berpunca daripada muatan siling putih yang dibawa sebuah treler telah terjatuh dan menimpa sebuah kenderaan jenis Subaru Forester, ketika melalui selekoh di lokasi kejadian.

“Pihak polis mengesahkan bahawa pemandu treler berusia 47 tahun telah ditahan pada hari kejadian tersebut ketika melalui sekatan jalan raya Batu Melintang Jeli, Kelantan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kemalangan itu turut melibatkan tiga buah kenderaan lain yang melalui jalan yang sama pada hari kejadian.

Katanya, dalam kemalangan itu, pemandu Subaru Forester berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan manakala isterinya yang berusia 31 tahun mengalami cedera parah serta keguguran, dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan.

Tambahnya, lain-lain mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 43(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” ujarnya.