Tular: Pengadil bola sepak diserang penyokong di Pasir Mas

Sinar Harian
Ogos 31, 2022 09:53 MYT
Seorang pengadil berdepan detik cemas diserang beberapa lelaki semasa mengendalikan perlawanan bola sepak di Stadium Mini Pasir Mas pada Ahad. - Sinar Harian
PASIR MAS: Seorang pengadil berdepan detik cemas diserang beberapa lelaki semasa mengendalikan perlawanan bola sepak di Stadium Mini Pasir Mas di sini pada Ahad.
Tindakan itu dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati penyokong berkait dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil berkenaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan selepas video berdurasi 39 saat itu tular apabila dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Kongsi Segala Info.
"Dalam insiden berkenaan tiada sebarang kecederaan dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, bagaimanapun insiden tersebut telah berjaya di leraikan secara aman oleh anggota unit kereta peronda polis (MPV) yang secara kebetulan berada di kawasan berkenaan semasa kejadian.
Menurutnya, video berdurasi 39 saat itu memaparkan beberapa orang lelaki sedang mengasari pengadil perlawanan dalam pertandingan bola sepak antara mukim dalam daerah Pasir Mas.
Mohd Nasaruddin berkata, polis menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi dalam menghadiri apa jua jenis perlawanan sukan yang dianjurkan.
"Hal ini bagi mengelakkan sebarang kecederaan atau kesalahan yang lebih serius dari berlaku pada masa akan datang.
"Orang ramai juga dinasihati supaya tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham dalam kalangan orang awam," katanya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat maklumat berhubung sesuatu insiden jenayah, orang ramai diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09-793 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. -- Sinar Harian
#pengadil diserang #Pasir Mas #video tular #Stadium Mini Pasir Mas