MALAYSIA

Tular video bergaduh di restoran: Kes selesai cara baik - Polis

Bernama 24/12/2025 | 03:40 MYT
Polis mengesahkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial baru-baru ini melibatkan empat individu di sebuah restoran di Taiping telah disiasat dan diselesaikan secara baik oleh pihak terbabit pada 20 Dis lalu.
IPOH: Polis mengesahkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial baru-baru ini melibatkan empat individu di sebuah restoran di Taiping telah disiasat dan diselesaikan secara baik oleh pihak terbabit pada 20 Dis lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail berkata, insiden itu berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelanggan dan dua pekerja restoran berkenaan.

"Kesemua individu yang terlibat telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi tujuan siasatan dan telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikannya secara baik pada hari sama kejadian berlaku.

"Kedua-dua belah pihak juga telah membuat laporan polis yang menyatakan perselisihan faham tersebut telah diselesaikan dengan baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir menambah, terdapat juga video lain yang memaparkan mereka bersalaman dan turut tular di media sosial.

Justeru, beliau menyeru masyarakat, khususnya penduduk Taiping, supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Sebaliknya, sebarang maklumat adalah disarankan terus disalurkan kepada pihak polis untuk memastikan kesejahteraan dan ketenteraman awam terpelihara.

-- BERNAMA


#video bergaduh #kes selesai #polis Taiping #Perselisihan Faham