KUALA LUMPUR: Penceramah kontroversi Hew Kuan Yew, atau lebih dikenali sebagai Superman Hew, ditahan awal hari ini selepas video beliau ceramah kontroversinya minggu lalu, tular.

Dalam ceramah itu, Hew menggunakan isu berbaur perkauman yang dilihat sengaja mengapi-apikan hubungan antara Melayu dan Cina.

Portal FMT melaporkan, Ketua Polis Pahang, Ramli Yoosuf mengesahkan penahanan bekas anggota DAP itu.

Dalam satu kenyataan, Ramli berkata bahawa ucapan Hew dalam bahasa Kantonis, yang disampaikan pada ceramah di Raub pada 17 Nov, didapati mempunyai unsur-unsur yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Hew disiasat mengikut Seksyen 4a Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana didakwa membuat kenyataan yang mempromosi niat jahat, rasa tidak puas hati atau permusuhan antara kaum yang sama atau kaum berbeza.

Hew, 52, juga disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana kenyataannya boleh mengancam ketenteraman awam dan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi secara tidak wajar.

Hew turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana ucapannya dalam program politik di Taman Pandan Mawar, Melaka, pada 18 Nov lalu.

Hew, yang keluar dari DAP pada 2016, merupakan pengarang buku komik "Belt and Road Initiative for Win-Winism", yang diharamkan oleh pihak berkuasa kerana kononnya mempromosikan propaganda komunis.

Susulan penularan video ceramahnya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata pendirian Hew tidak mencerminkan Pakatan Harapan.