[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Tumbuk pemandu wanita: TDM serah siasatan kepada polis

Bernama 01/04/2025 | 08:32 MYT
Insiden berlaku selepas pemandu wanita tidak sempat mengelak isteri dan anak lelaki tersebut yang tiba-tiba melintas jalan, menyebabkan kecederaan ringan kepada mereka. -Gambar fail/video tular
SEREMBAN: Tentera Darat Malaysia (TDM) menyerahkan siasatan kepada polis berhubung kes anggotanya yang dipercayai melakukan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita sehingga cedera di Jalan Persiaran Senawang 4 di sini, tiga hari lepas.

Ringkasan AI
  • Tentera Darat Malaysia menyerahkan siasatan kepada polis berhubung kes anggotanya yang dipercayai melakukan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita.
  • Anggota tentera berusia 35 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
  • Insiden berlaku selepas pemandu wanita tidak sempat mengelak isteri dan anak lelaki tersebut yang tiba-tiba melintas jalan, menyebabkan kecederaan ringan kepada mereka.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata pihaknya memantau secara dekat kes seumpama itu dan memandang serius sebarang tingkah laku anggota yang boleh membawa kemudaratan kepada imej perkhidmatan.
"Anggota berkenaan masih dalam siasatan. Saya tidak berani membuat sebarang spekulasi atau kenyataan. Biarkan pihak polis menyelesaikan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata anggota tentera berusia 35 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes tersebut dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Polis sebelum ini menahan lelaki itu selepas dia dikatakan menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita berusia 28 tahun sehingga menyebabkan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.
Ia susulan wanita itu, yang memandu kereta jenis Perodua Axia, tidak sempat mengelak ketika isteri lelaki tersebut, yang berusia 34 tahun dan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun, tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan kedua-duanya cedera ringan dalam kejadian pada 10.15 malam.
-- BERNAMA
#Bukit Aman #Muhammad Hafizuddeain Jantan #tentera darat #Anggota tentera