REMBAU: Usaha melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan rakyat Sarawak perlu dijadikan tumpuan supaya dapat memberi khidmat di negeri sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, antara cabaran dalam penempatan profesion itu ialah kebanyakan doktor menolak berkhidmat di negeri itu kerana faktor jarak kawasan yang jauh dari pusat bandar serta kekangan kemudahan asas di kawasan luar bandar.

"Apabila tawaran dibuka (jawatan tetap), yang dapat adalah dari Semenanjung dan Sabah, mungkin mereka tidak mahu ke Sarawak itu kerana posting di luar bandar, kemudahan asas tidak selengkap seperti di Semenanjung," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melawat ke Pusat Pengumpulan Getah (PMG) Kampung Kuala Sawah, Rantau, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata, jawatan tetap untuk doktor kontrak harus ditawarkan kepada mereka yang sudah berkhidmat di Sarawak atau rakyat negeri itu yang sedang menanti tawaran.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, sebanyak 50 daripada 619 pegawai perubatan menolak tawaran jawatan tetap di fasiliti kesihatan awam di Sarawak. - BERNAMA