NATIONAL

Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia

Farhan Hakimi 14/04/2025 | 11:28 MYT
Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia pada jam 7:10pm di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Perkara itu disahkan ahli politik dan bekas Menteri Kesihatan yang juga menantu arwah, Khairy Jamaluddin menerusi laman Instagramnya sebentar tadi.

Arwah merupakan PM kelima apabila dilantik pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan beliau.

Tun Abdullah memimpin negara selama enam tahun sebelum beliau sendiri meletakkan jawatan dan digantikan timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada 2 April 2009.

Dari aspek pendidikan, beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera untuk bidang Pengajian Islam dari Universiti Malaya di ibu negara pada tahun 1964.

Dalam satu sidang media bersama keluarga Allahyarham di IJN pada jam 8.25 malam tadi, Khairy memaklumkan jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediaman mereka di ibu negara.

Penghormatan awam akan diadakan di ruang solat utama Masjid Negara dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari pada Selasa.

Allahyarham akan disemadi di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat jenazah sejurus selepas solat Zuhur.

"Kesemua anak-anak Allahyarham berada di sisi Allahyarham sewaktu (beliau) menghembuskan nafas terakhir malam tadi," menurut Khairy.

Tun Abdullah meninggalkan seorang balu, Tun Jeanne Abdullah dan empat orang anak.



#Abdullah Ahmad Badawi #meninggal dunia #IJN #perdana menteri kelima