KUALA LUMPUR:Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berjanji akan menjalankan tanggungjawab diberikan dengan sebaik mungkin.

"Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan Tuanku melantik saya ke jawatan ini.

"Insya-Allah, dengan kerjasama dan komitmen ahli-ahli jawatankuasa, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ini akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya selaras dengan peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021," katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai pelantikannya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pelantikan Arifin dan 18 individu lagi yang berkuat kuasa serta merta telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka yang dilantik adalah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman; bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai; bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; bekas Ketua Pengarah Kesihatan Prof Tan Sri Dr Mohamad Taha Arif; pakar bedah jantung Tan Sri Dr Yahya Awang.

Turut menganggotai jawatankuasa itu Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Tan Sri Ter Leong Yap; Pro-Canselor Universiti Cyberjaya Tan Sri Dr R Palan, bekas Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Peguam Negara Datuk Sallehuddin Saidin, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan pakar kesihatan awam Prof Datu Dr Andrew Kiyu Dawi Usop.

Selain itu juga dilantik bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman; Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun.

Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook serta Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut tersenarai dalam jawatankuasa berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri berkata jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Sementara Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pula akan berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini.

-- BERNAMA