KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Daim, 86, isterinya, Toh Puan Naimah Khalid, 67, dan empat anak, Asnida, 63; Md Wira Dani, 46; Muhammed Amir Zainuddin, 26; Muhammed Amin Zainuddin serta menara itu selaku pemohon pertama hingga ketujuh memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Tommy Thomas.

Menerusi dokumen semakan kehakiman, mereka menamakan SPRM dan pendakwa raya selaku responden pertama dan kedua.

Bekas pemimpin kanan itu memohon deklarasi bahawa SPRM dan pegawai-pegawainya tiada sebab munasabah untuk menyiasat pemohon pertama hingga keenam dan/atau membawa kepada pendakwaan bagi sebarang kesalahan bawah Akta SPRM 2009 mahupun Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada Akta Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pada Rabu,portal  Sinar Harian melaporkan, isteri dan anak kepada tokoh konglomerat terkenal itu diminta hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Pada 22 Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada muslihat, niat jahat, pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak dalam tindakan SPRM menyita bangunan Menara Ilham milik keluarga Daim.

Sementara SPRM pada 30 Disember, mengesahkan bekas Menteri Kewangan itu disiasat berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari 2023.

Selasa lepas, empat individu berkaitan dengan Daim turut dipanggil memberi keterangan.