Tun Dr Mahathir akui masih terima kemudahan kerajaan

Bernama
November 9, 2017 12:18 MYT
Dr Mahathir berkata polis hanya menjalankan tugas apabila mereka membuka dua kertas siasatan terhadapnya dan beliau sedia disiasat jika dipanggil. - Gambar fail
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui masih menikmati beberapa kemudahan yang disediakan kerajaan untuk bekas perdana menteri selepas beliau berundur daripada jawatan itu, 14 tahun lepas.
Menurutnya, kemudahan seperti pembantu rumah dan kakitangan di Yayasan Kepimpinan Perdana dikekalkan cuma mereka dihantar menggantikan pekerja lama dengan khidmat mereka masih dibayar kerajaan.
Mengulas kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini bahawa kerajaan tidak pernah menarik apa-apa kemudahan yang disediakan kepada mana-mana bekas perdana menteri, Dr Mahathir berkata beliau sedia menyenaraikan perjawatan yang ditarik balik termasuk yang tiada kaitan dengan kerajaan dan mendakwa pihak yang menawarkan perjawatan itu kepadanya dipaksa menarik jawatan yang diberikan.
BACA: UTK kawal Dr Mahathir tidak ditarik balik
BACA: Anggota untuk kawal keselamatan Dr Mahathir tidak ditarik balik - KPN
Menurut JPM, sebanyak 21 perjawatan diperuntukkan kepada Dr Mahathir, dengan kesemua perjawatan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan meliputi pembayaran gaji, elaun tuntutan dan lain-lain kemudahan yang layak dinikmati sebagai penjawat awam.
Dr Mahathir, yang ditemui pemberita selepas sesi dialog kepimpinan dalam era digital di masa depan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, dalam pada itu, bertegas untuk tidak memohon maaf berhubung kenyataannya berkaitan Bugis termasuk terhadap desakan yang dibuat Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang merujuk kepada etnik tersebut mahupun pihak Jusuf.
BACA: Isu Bugis: GABUNG desak Dr Mahathir mohon maaf
BACA: Dakwaan hina Bugis: 'Saya tidak akan minta maaf' -Tun Mahathir
Mengenai tindakan polis membuka dua kertas siasatan terhadap beliau berhubung kenyataannya itu, Dr Mahathir berkata polis hanya menjalankan tugas mereka dan sedia disiasat jika dipanggil.
Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Okt 2003.
-- BERNAMA
#bugis #elaun #gaji #Jabatan Perdana Menteri #Jusuf Kalla #kemudahan #kerajaan #kertas siasatan #Mahathir Mohamad #pembantu rumah #Perdana Menteri #perjawatan #polis #tarik balik