Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar akan memfailkan tuntutan balas terhadap saman fitnah dikemukakan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap di sebuah konvensyen pada September lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Mohammed Hanif kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Siti Norhidayah Mohd Noor, yang turut dihadiri peguam Harshaan Zamani bertindak bagi pihak Lim.

Shaharudin berkata mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan tuntutan balas dan penyataan pembelaan terhadap saman itu selewat-lewatnya pada 5 Dis ini manakala Lim diarah untuk menjawab tuntutan balas berkenaan pada 19 Dis.

Peguam itu berkata mahkamah juga menetapkan 20 Dis untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 17 Okt lepas, Lim selaku plaintif menyaman Mohammed Hanif selaku defendan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap pada Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Sept 2018, yang telah diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, hari yang sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa defendan juga telah secara salah dan berniat jahat menyebabkan kata-kata fitnah itu disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today pada hari sama (6 Sept) dan keesokannya.

Pemimpin Kanan DAP itu mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa beliau bertanggungjawab dan berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum dan berniat untuk memecahkan kaum Melayu dan Cina.

Lim turut mendakwa kata-kata fitnah itu telah menyebabkan reputasinya selaku ahli Parlimen dan orang kenamaan terjejas.

Dakwanya, satu surat bertarikh 12 Sept telah dihantar supaya defendan menarik balik kata-kata fitnah serta memohon maaf, namun peguam defendan telah menjawab surat berkenaan dan menafikan kata-kata fitnah itu terhadap plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kata-kata fitnah itu selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan semula kata-kata fitnah berkenaan.

-- BERNAMA