Tun M diberi pengiktirafan, tanam pokok di Taman Mahkota Jubli Emas

Harits Asyraf Hasnan
September 3, 2018 01:22 MYT
Sultan Hassanal Bolkiah menyambut ketibaan Dr Mahathir di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Sri Begawan, hari ini. --fotoBERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi ketua kerajaan pertama yang diberi penghargaan oleh Kerajaan Brunei Darussalam untuk menanam pokok di Taman Mahkota Jubli Emas di sini pagi ini.
Pokok yang diberi nama Pohon Bahagia itu juga ditanam oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, yang turut menemani Perdana Menteri Malaysia itu beriadah di taman tersebut.
Sultan Hassanal Bolkiah sebelum itu menyambut ketibaan Dr Mahathir dan memandu 'buggy' mengelilingi taman.
Pertemuan hari ini juga merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemimpin itu dalam rangka lawatan rasmi dua hari Dr Mahathir ke negara pengeluar minyak itu.
Mereka turut menandatangani plak peringatan sempena lawatan itu.
Kedua-dua pemimpin itu kemudian bersarapan pagi di The Horizon, sambil menyaksikan keindahan Taman Mahkota Jubli Emas yang terletak bersebelahan Sungai Brunei dan Kampung Ayer.
Turut berangkat bersama adalah Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
#Brunei #Hassanal Bolkiah #kerajaan #Mahathir Mohamad #Malaysia #Perdana Menteri #riadah #Saifuddin Abdullah #Taman Mahkota Jubli Emas #tanam pokok