Tun M jadi tetamu kehormat Hari Pakistan 2019

Harits Asyraf Hasnan
Mac 23, 2019 07:46 MYT
Dr Mahathir bersama Imran Khan (kanan) semasa mengadakan perbincangan empat mata di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan pada Jumaat. -Gambar fail
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad buat pertama kali menjadi tetamu kehormat pada sambutan Hari Pakistan 2019 yang diraikan pada 23 Mac setiap tahun.
Malah, menjadi titik sejarah buat Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi apabila ia merupakan sambutan pertama buat kedua-dua pemimpin Pakistan itu selepas menjawat jawatan masing-masing pada 18 Ogos dan 9 September tahun lalu.
Ketibaan beliau di Shakar Parian, di mana lokasi berlangsungnya perbarisan dan pertunjukan sambutan Hari Pakistan 2019 diiringi oleh 18 tentera bermotosikal.
Ketibaan beliau disambut Imran yang mengundang Dr Mahathir sebagai tetamu kehormat pada sambutan itu.
Majlis diteruskan dengan ketibaan Presiden Pakistan, Dr Arif disusuli lagu kebangsaan Pakistan, Qaumi Taranah serta bacaan ayat suci Al-Quran.
Sambutan Hari Pakistan 2019 menyaksikan penglibatan ribuan tentera daripada ketiga-tiga ketumbukan utama tentera Pakistan, darat udara dan air.
Kelainan pada sambutan Hari Pakistan kali ini adalah penglibatan kontinjen tentera dari China, Turki, Azerbaijan, Bahrain, Sri Lanka dan Arab Saudi.
#Arif Alvi #Dr Arif Alvi #Hari Pakistan #Imran Khan #Mahathir Mohamad #Malaysia #Pakistan #Tun Dr Mahathir Mohamad