Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan harapannya agar Universiti Tsukuba, Jepun dapat membuka cawangannya di Malaysia.

Berucap di hadapan Rresiden Universiti Tsukuba, Kyosuke Nagata dan 500 hadirin termasuk pelajar Malaysia, Dr Mahathir berkata pembukaan kampus universiti itu bakal membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia.

Ini, katanya lagi, dapat memberi manfaat yang lebih, bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada orang lain di rantau ini yang ingin mendapatkan ilmu memandangkan kos untuk tinggal di Jepun sangat tinggi.

“Saya sangat mengagumi Jepun. Sebab itu saya wujudkan Dasar Pandang Ke Timur kerana saya mahu rakyat Malaysia bukan sahaja dapatkan ilmu pengetahuan dari mereka, tetapi juga belajar budaya hidup dan etika kerja mereka,” katanya.



Turut hadir ialah Presiden Universiti Tsukuba, Kyosuke Nagata, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, serta pegawai kanan kerajaan.

Berucap lanjut, Perdana Menteri menerangkan kepada hadirin bahawa Dasar Pandang Ke Timur yang beliau sendiri perkenalkan, sebenarnya diilhamkan oleh lawatan beliau ke Jepun pada tahun 1961.

Dr Mahathir berkata, waktu itu beliau datang bukan sebagai menteri mahupun ahli parlimen, sebaliknya hanya sebagai rakyat Malaysia biasa.

"Saya perasan satu perkara, iaitu bagaimana rakyat Jepun mempunyai semangat dan dedikasi yang cukup tinggi dalam membangunkan semula negara mereka yang hampir musnah akibat peperangan demi peperangan.

"Saya juga pernah membaca kisah pengasas Sony, di mana ketika beliau memulakan syarikat itu, negara Jepun sangat miskin. Tetapi pekerja syarikat itu sanggup berkorban dan berusaha membangunkan syarikat itu walaupun hanya dibayar dengan beras dan kicap soya.

"Semangat dan dedikasi itu yang membolehkan mereka membawa keluar Jepun dari kancah kemiskinan," katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau melihat pendidikan merupakan satu aspek yang cukup kritikal dalam proses membangun dan memajukan negara.

"Tetapi jika anda hanya sekadar mempunyai ilmu pengetahuan, tetapi sikap dan tingkah laku anda buruk, ia mungkin tidak membawa apa apa kebaikan. Anda mungkin akan menggunakan ilmu itu di jalan yang salah," katanya.

Atas sebab itu, Dr Mahathir berkata, karakteristik orang Jepun seperti sahsiah diri, etika pekerjaan, displin dan sebagainya sangat penting untuk dipelajari rakyat Malaysia.

Terdahulu, dalam majlis ringkas, Nagata telah menganugerahkan Doktor Kehormat kepada Dr Mahathir atas jasa beliau memartabatkan bidang pendidikan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.


Nagata dalam ucapannya terdahulu turut mengucapkan tahniah di atas pemilihan semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada pilihan raya umum yang lepas.