KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir beberapa Ahli Parlimen yang berdepan tuduhan mahkamah kerana masih boleh berucap lama di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kumpulan itu lebih mementingkan ucapan di Dewan Rakyat berbanding menghadiri penghakiman di mahkamah.

"Di Malaysia ini kita dapati keadaan rule of law sudah berbeza. Sekarang ini kita dapati banyak orang didapati bersalah tetapi masih lagi terus menjadi wakil rakyat.

"Umpamanya, menasihati kerajaan bagaimana membelanjakan belanjawan kita (negara) dan tiada tindakan yang diambil terhadap orang ini walaupun mereka boleh hadir dalam dewan dan membuat ucapan panjang-panjang.

"Tetapi tak ada masa untuk menghadapi hakim di mahkamah. Jadi, keadaan ini perlulah ambil ingatan bahawa yang diutamakan ialah ucapan di dewan, bukan hukuman terhadap kesalahan," kata beliau ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Antara Ahli Parlimen yang sedang menghadapi prosiding perbicaraan ialah Datuk Seri Najib Razak melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Manakala, Ahli Parlimen pembangkang yang ketika ini sedang menjalani prosiding perbicaraan antaranya, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng membabitkan tuduhan rasuah melibatkan tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.