MALAYSIA

Tun M titip pesan baca buku berulang kali, kuasai ilmu sebaik mungkin

Faida Rahim 10/07/2025 | 05:30 MYT
Dr Mahathir (kiri) menekankan amalan membaca berulang kali sebagai kunci utama menguasai ilmu, berdasarkan pengalamannya semasa belajar perubatan. -Facebook @Dr Mahathir bin Mohamad
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menekankan bahawa amalan membaca berulang kali merupakan kunci utama dalam menguasai ilmu, terutamanya bagi pelajar yang ingin mengejar kecemerlangan akademik.


Ringkasan AI
  • Tun Dr Mahathir menekankan amalan membaca berulang kali sebagai kunci utama menguasai ilmu, berdasarkan pengalamannya semasa belajar perubatan.
  • Beliau berkongsi bahawa membaca berulang kali membantu membentuk gambaran jelas dalam minda, sama seperti mengenali wajah kawan melalui pertemuan kerap.
  • Dr Mahathir menasihatkan golongan muda agar tidak berputus asa jika ketinggalan dalam pelajaran, sebaliknya berusaha gigih melalui pembacaan dan latihan berterusan.


Mengimbas kembali zaman persekolahannya, Dr Mahathir akui sering bersaing rapat dengan seorang rakan sekelas berbangsa Cina untuk mendapat tempat pertama dalam kelas.

"Saya selalu cuba semasa di sekolah nak dapat nombor satu. Ada dua orang saja, satu budak Cina, seorang lagi saya. Kalau dia tak dapat nombor satu, saya dapat nombor satu," kata Dr Mahathir.

Namun, ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, beliau mengakui ketinggalan berbanding rakan-rakan lain yang mempunyai kelulusan lebih tinggi.

Justeru, beliau mengambil pendekatan serius dalam pembelajaran dengan membaca buku teks berkali-kali.

"Jadi bila belajar perubatan, saya ketinggalan. Saya punya kelulusan rendah berbanding pelajar lain. Jadi saya nak kejar mereka untuk itu saya kena serius tentang belajar, sebab itu saya baca buku teks banyak kali.

"Bukanlah saya cuba nak ingat semua, tapi bila kita baca banyak kali, kita boleh nampak gambaran jelas muka surat, gambar semua.

"Bila kita jawab soalan dalam peperiksaan kita nampak. Macam kita jumpa dengan kawan, kita tahu kawan kita rupa dia macam mana, bukan kita hafal.

"Pasal kita jumpa kerap, kita tahu muka dan suara dia, cara dia berjalan apa semua. Ilmu pun macam itu," katanya lagi.

Dr Mahathir berkata demikian dalam podcast khas sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengaitkan proses pembelajaran dengan kemahiran lain seperti mengukir kayu, yang memerlukan latihan berulang kali untuk mencapai hasil yang baik.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menasihatkan golongan muda agar tidak berputus asa sekiranya ketinggalan dalam pelajaran, sebaliknya berusaha lebih gigih dengan memperbanyakkan pembacaan.









#Mahathir Mohamad #amalan membaca #kunci utama menguasai ilmu #gambaran jelas