MALAYSIA
Tun Mahathir hadir majlis doa selamat sempena ulang tahun ke-100

Sejurus selesai acara doa selamat, hadirin kemudiannya dijamu dengan jamuan makan malam bersama Dr Mahathir dan tetamu kehormat lain. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Genap usia satu abad, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disambut dalam majlis kesyukuran dan doa selamat yang dihadiri ratusan jemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada Khamis.
Tun Dr Mahathir tiba bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, sekitar jam 7.34 malam, disambut ahli keluarga, kenalan rapat serta rakan-rakan politik.
Majlis turut diadakan bersempena ulang tahun kelahiran Tun Siti Hasmah yang bakal disambut pada 12 Julai ini.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, dan diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat.Hadirin kemudiannya dijamu dengan jamuan makan malam bersama Dr Mahathir dan tetamu kehormat lain.
Dalam pada itu turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta beberapa bekas jemaah menteri dari era pentadbiran beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami