Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyokong pemilihan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru, menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Dr Mahathir berkata Adenan merupakan seorang bekas menteri Kabinet yang berpengalaman.

"Dia memang satu pilihan yang baik.

"Saya masih ingat, Adenan, dahulu dia menteri Kabinet. Selepas itu entah bagaimana dia berhenti kerana hendak jadi pengganti kepada Taib Mahmud. Jadi dia balik ke Sarawak. Tiba-tiba dia tidak dilantik.

"Jadi tak tahulah..tentulah dia kecewa..tetapi sekarang saya percaya dia akan menumpukan segala-galanya kepada tugas sebagai Ketua Menteri kerana dia mempunyai pengalaman di dalam Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan," katanya semasa suatu sidang media selepas melancarkan Seminar dan Forum Buku Perdana di sini hari ini.

Adenan, 68, dinamakan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru berkuatkusa 1 Mac, ekoran menyerahkan surat peletakan jawatan Taib kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, dalam satu pertemuan pukul 3.30 petang tadi.

Abdul Taib juga dijangka mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dan calon akan ditentukan oleh Ketua Menteri baru.

Adenan, yang menerima pendidikan undang-undang di Australia, pernah bertugas sebagai wartawan, guru, majistret dan penasihat perundangan sebelum bertanding pada pilihanraya negeri sarawak di kerusi Muara Tuang pada Januari 1979.

Beliau dilantik sebagai pendakwaraya seawal tahun 1969 di pejabat pendakwaraya Adelaide, dan pernah berkhidmat sebagai majistret dari 1971 hingga 1972.

Adenan menjadi peguam di mahkamah tinggi Borneo pada 1975 dan dilantik pengerusi Yayasan Sarawak pada 1999 selepas Taib melepaskan jawatan itu.

Mula berkhidmat dengan kerajaan Sarawak sebagai menteri muda Pembangunan Tanah pada 1985, beliau dinaikkan pangkat sebagai menteri negeri di kementerian sama.

Pada 1992, beliau berpindah ke kementerian Pembangunan Sosial Negeri, dan kemudiannya pada 1998 menjadi menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri.

Dalam pemilihan parti Pesaka Bumiputra Bersatu tahun 2002, beliau bersama-sama Datuk Sri Abang Abdul Rahman Zohari bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden parti.

Walau bagaimanapun nasib tidak menyebelahi beliau apabila tewas di tangan Abang Zohari, seterusnya dilantik sebagai naib presiden kanan parti oleh majlis tertinggi, sesuatu yang janggal di dalam parti semenjak 30 tahun penubuhannya.

Penonjolan kepimpinan beliau amat ketara di dalam parti sehingga ada desas-desus yang mengatakan bahawa beliau bakal menggantikan Taib sebagai ketua menteri Sarawak yang baru.

Selepas pilihan raya parlimen diadakan pada tahun 2004, dengan menggantikan Cikgu Sukinam Domo di Parlimen Batang Sadong, beliau dilantik sebagai menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, suatu jawatan yang tidak asing bagi menteri yang berasal dari Sarawak.

Namun begitu pada Februari rombakan kabinet persekutuan telah diadakan dan beliau tidak disenaraikan di dalam kabinet tersebut.

Alasan perdana menteri ialah Adenan sendiri meminta supaya beliau tidak dinamakan sebagai menteri, kemudiannya diakui oleh beliau sendiri.

Lain alasan ialah untuk memberi konsentrasi di dalam pilihan raya negeri yang bakal dilangsungkan pada Mei 2006.

Episod Adenan dan kepimpinan serta politik negeri sarawak amat sunyi sehinggalah selepas pilihan raya ke-9 2006 beliau tidak dilantik semula di dalam kabinet negeri.

Untuk rekod di dalam pilihan raya ke-9 2006 tersebut beliau ditukarkan ke kerusi Tanjung Datu, dan kerusi lama beliau bertukar tangan kepada calon baru iaitu Datuk Sri Muhammad Ali Mahmud iaitu adik kandung ketua menteri sendiri.

Dalam rekod pilihan raya yang lepas kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi kawasan Muara Tuang merupakan kubu kuat parti Barisan Nasional dan mempunyai majoriti yang tertinggi bagi negeri Sarawak.

Adenan sekali lagi di kawasan barunya mendapat majoriti undi yang juga tinggi dengan mengalahkan dua pencabarnya dari bebas dan calon Keadilan dengan majoriti 4136.