Tun Rahah meninggal dunia

Astro Awani
Disember 18, 2020 09:08 MYT
Tun Rahah sebelum ini berada dalam keadaan tidak sihat di hospital dan menerima kunjungan beberapa pemimpin negara. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah, dilaporkan baru sahaja meninggal dunia sekitar jam 4.45 petang, Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
Khabar pemergian Tun Rahah, yang berusia 87 tahun itu disahkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Twitter rasminya:

Innalillahwainnailaihirojiun. Bonda saya sudah tiada. Kami sekeluarga di hospital. Kesedihan dan air mata mengalir. Tiada kata-kata untuk kehilangan ini.

— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) December 18, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Berita duka itu juga antara lain dinyatakan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya:

Innalillahiwainnailaihiraajiun...DGN PENUH RASA SEDIH,TUN HJH RAHAH MOHD NOAH telah kembali ke Rahmatullah sekejap tadi..SEMOGA ALLAH MEMBERIKAN KEKUATAN DAN KESABARAN KPD SELURUH KELUARGA ...DAN SEMOGA ALLAH SWT MENCUCURI RAHMAT ATAS ROH ALLAHYARHAMAH...ALFATIHAH.. pic.twitter.com/cnK2cIEXFp

— Annuar Musa (@AnnuarMusa) December 18, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tun Rahah merupakan ibu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain Najib, Tun Hajah Rahah mempunyai empat lagi anak termasuk bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak.
BACA: Kekuatan di sebalik kelembutan wanita bernama Tun Rahah
Terdahulu, Tun Hajah Rahah yang dimaklumkan berada dalam keadaan tidak sihat di hospital menerima kunjungan beberapa pemimpin negara.
Dalam perkongsian di Facebook, Najib merafak sembah dan menjunjung kasih atas kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
BACA: Doa Najib buat ibu tersayang
Dalam pada itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada Najib atas pemergian Allahyarhamah.
"Baru terima berita sayu isteri kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien yakni Tun Rahah Mohamed Noah telah pergi dijemput ilahi.
"Takziah kepada Najib Razak sekeluarga. Saya turut bersedih dan mendoakan agar roh allahyarhamah dicucuri rahmat," katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini.

* Astro AWANI sedang mengikuti perkembangan terkini pemergian Allahyarham Tun Rahah di saluran 501, Live TV di platform digital dan semua platform media sosial Astro AWANI

#Tun Rahah Mohamed Noah #meninggal dunia