MALAYSIA
Tun Ramli seru umat Islam hayati akhlak Rasulullah dalam era digital
Tun Ramli berkata meskipun perkembangan teknologi membawa pelbagai manfaat, ia juga mampu mengundang risiko penipuan maklumat, budaya hedonisme serta perpecahan sosial jika tidak dipandu dengan ilmu dan akhlak. - Gambar fail
BUTTERWORTH: Umat Islam di Pulau Pinang diseru agar meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam mendepani cabaran semasa khususnya di era teknologi pintar, kecerdasan buatan (AI) dan media sosial yang semakin berpengaruh dalam kehidupan seharian.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib berkata meskipun perkembangan teknologi membawa pelbagai manfaat, ia juga mampu mengundang risiko penipuan maklumat, budaya hedonisme serta perpecahan sosial jika tidak dipandu dengan ilmu dan akhlak.
"Ummah MADANI mesti dibina dengan literasi digital berlandaskan ilmu dan akhlak, agar masyarakat Pulau Pinang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan teknologi tetapi juga kukuh dari segi iman serta moral.
"Dalam konteks Pulau Pinang yang meletakkan Visi Penang 2030 sebagai asas untuk membina negeri pintar berorientasikan kekeluargaan, umat Islam di negeri ini perlu bergerak seiring dengan memperlengkap nilai keilmuan dan memperkukuh institusi keluarga bagi menjamin kesejahteraan lebih berdaya saing menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1447H/2025M di Dewan al Ansar Masjid al Muhajirin Seberang Jaya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Suki Othman.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan budaya buli di sekolah, universiti dan tempat kerja yang bertentangan dengan akhlak Rasulullah S.A.W.
"Mencintai Rasul bermaksud menolak budaya yang tidak berperikemanusiaan ini agar kita dapat membina generasi saling menyayangi antara satu sama lain," katanya.
Yang Dipertua Negeri itu juga bersyukur dan kagum dengan peruntukan pembangunan agama Islam di negeri ini yang merupakan antara tertinggi di Malaysia dengan melibatkan pembangunan masjid, sekolah agama, institusi tahfiz, wakaf, zakat dan dakwah.
Ramli juga mengingatkan bahawa pembinaan Ummah MADANI tidak hanya boleh dipikul oleh pemimpin semata-mata sebaliknya ia adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat.
Beliau berkata masjid dan surau perlu menjadi pusat ilmu dan perpaduan ummah, institusi keluarga sebagai benteng akhlak manakala media sosial pula perlu dimanfaatkan sebagai medan dakwah yang menyatukan tetapi bukan memecah-belahkan ummah.
"Saya menyeru agar institusi masjid dan surau di negeri ini terus mempergiatkan program pengimarahan yang lebih berkesan, supaya sirah dan sunah Baginda benar-benar dihayati dalam setiap jiwa umat Islam di Pulau Pinang," katanya.
Pada majlis itu, pengasas Sekolah Agama Madrasah al-Ahmadiah al-Ijtima'iyah, Jalan Padang Lallang Bukit Mertajam Hamzah Jaafar dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul Negeri Pulau Pinang.
-- BERNAMA