Tun Wan Junaidi dianugerah Darjah Satria Bintang Sarawak

Bernama
Februari 28, 2024 06:44 MYT
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima Anugerah Darjah Satria Bintang Sarawak (SBS) yang membawa gelaran ‘Pehin Sri’ pada istiadat penganugerahan pingat di Astana Negeri Sarawak hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima anugerah Darjah Satria Bintang Sarawak (SBS) yang membawa gelaran "Pehin Sri".
Darjah tertinggi dalam senarai anugerah negeri Sarawak itu disampaikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu istiadat penganugerahan pingat di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Dalam majlis itu, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah membacakan pencapaian Tun Dr Wan Junaidi yang telah memegang jawatan-jawatan penting seperti Yang Dipertua Dewan Negara, menteri dan timbalan menteri Persekutuan, serta timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Tun Wan Junaidi menjadi penerima kelima darjah berkenaan selepas Allahyarhan Tun Abdul Taib Mahmud, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Tun Wan Junaidi menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa 26 Jan lepas bagi menggantikan Allahyarham Tun Abdul Taib yang tamat perkhidmatan pada 25 Jan.
-- BERNAMA
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar #anugerah Darjah Satria Bintang Sarawak #gelaran Pehin Sri #Yang Dipertua Negeri Sarawak