KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Perdana Menteri yang sah walaupun mendapat pelbagai tekanan memaksa beliau berundur, kata Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Jelas Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), kesemua ahli Parlimen berpeluang untuk menentukan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri pada persidangan Parlimen bulan September nanti.

Sambil menyokong teguh kepimpinan Perdana Menteri, beliau berkata, tuduhan Muhyiddin menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah tidak berasas sekali gus mengganggu usaha menangani COVID-19.

"Muhyiddin masih perdana menteri di bawah perlembagaan. Parlimen akan bersidang pada bulan September dan semua MP berpeluang menentukan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Sementara itu, tuduhan bahawa beliau menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah tidak berasas, dan sangat mengganggu pada saat kita semua sepatutnya bekerjasama, baik kerajaan mahupun pembangkang untuk memerangi COVID-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM

BACA: 'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM Muhyiddin

Jeffrey berkata gangguan politik berterusan yang berlaku menjejaskan usaha kerajaan dalam menghentikan penyebaran COVID-19, serta melemahkan usaha pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang dijadualkan.

Tambahnya, semalam hampir 20,000 kes COVID-19 dikesan di Malaysia, dan jumlah kes dijangka terus meningkat dalam beberapa minggu mendatang.

"Yang menyedihkan saya ialah, selama empat hari persidangan parlimen, pembangkang berkeras untuk bermain politik tetapi tidak menyumbang apa-apa dalam usaha memerangi COVID-19.

"Apa yang kita perlukan sekarang adalah komitmen tidak berbelah bagi kerajaan untuk memastikan Malaysia berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonomi demi kebajikan rakyat

"Pembangkang harus memberikan kerajaan peluang untuk melaksanakan pelan pemulihan ini," katanya lagi.