MALAYSIA

Tunggul Melati Trail 2025 tarik lebih 2,000 pengunjung, angkat Dengkil sebagai destinasi pelancongan sukan

Naz Raseed 23/09/2025 | 05:00 MYT
Pemenang perlumbaan larian Tunggul Melati Trail 2025 menerima hadiah selepas berjaya menamatkan perlumbaan pada sebelum masa yang ditetapkan.
Dengkil: Acara larian denai dan ekspo pelancongan sukan, Tunggul Melati Trail 2025 (TMT 2025) yang berlangsung pada 6 hingga 7 September lalu berjaya mencatat kejayaan membanggakan apabila menarik lebih 2,000 pengunjung serta penyertaan lebih 700 pelari dari dalam dan luar negara.


Ringkasan AI
  • Lebih 2,000 pengunjung & 700 peserta sertai TMT 2025 di Dengkil. Penganjuran gabung elemen sukan & ekspo pelancongan dengan hadiah lebih RM33,000. Tarik pelari dari 13 negara, lonjak Dengkil sebagai destinasi pelancongan sukan.


Perlumbaan ini menampilkan tiga kategori jarak iaitu 55 kilometer, 35 kilometer dan 13 kilometer, dengan laluan merentasi Bukit Tunggul di Dengkil, Selangor dan Bukit Melati di Nilai, Negeri Sembilan. Acara bermula seawal pagi di University College of Aviation Malaysia (UniCAM) dan tamat di lokasi yang sama.

Selain perlumbaan, penganjuran julung kali ini turut menampilkan ekspo pelancongan sukan yang menghimpunkan 29 vendor tempatan termasuk makanan dan minuman, barangan rekreasi, produk sukan serta agensi pelancongan. Hadiah keseluruhan bernilai lebih RM33,000 ditawarkan kepada pemenang, termasuk wang tunai melebihi RM10,000.

Pengarah Pasak Adventure, Mohammad Fazreen Idham Mohd Jais berkata, acara ini unik kerana menggabungkan elemen sukan dan perniagaan dalam satu platform.

“TMT 2025 sememangnya unik kerana bukan sekadar acara larian, tetapi turut membuka ruang kepada pemain industri pelancongan sukan untuk berkembang.

Kami jangkakan acara ini memberi kesan nilai ekonomi setempat melebihi RM650,000,” katanya.

Tambah beliau, acara ini bukan sahaja menarik penyertaan pelari elit tempatan, malah turut disertai pelari rekreasi dan antarabangsa dari 13 negara termasuk India, Britain, Jepun, Amerika Syarikat dan Thailand.

Walaupun trek tidak menawarkan elevasi ekstrem, peserta berdepan cabaran cuaca panas selain laluan sejauh 60 peratus yang tidak bersilara. Bagi memastikan keselamatan, penganjur menyediakan penunjuk arah jelas, stesen rehat dengan makanan dan minuman, selain krew sokongan di laluan utama.

Penganjuran Tunggul Melati Trail 2025 turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia, Tourism Selangor, Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia Ultra Runners Association (MURA), SportAsia serta komuniti Gunung People.

Acara ini sekali gus membuktikan potensi besar Dengkil sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi yang mampu meraih perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa.






#Tourism Malaysia #Malaysia #TMT 2025 #Tunggul Melati Trail 2025 #Dengkil