'Tunjuk bukti saya rampas tanah orang Kedah' - Aliff Syukri

Azyyati Ahmad
Mei 6, 2016 11:39 MYT
Aliff Syukri (kemeja putih) dalam sidang media yang berlangsung di Wisma D'Herbs Kota Damansara , pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
Pengasas D'Herbs Holding, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menggesa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menunjukkan bukti bahawa beliau ingin merampas tanah-tanah milik rakyat Kedah seperti yang didakwa.
Beliau menyifatkan dakwaan yang dibuat Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah baru-baru ini sebagai satu penghinaan buat dirinya.
Aliff Syukri turut menafikan syarat untuk memiliki tanah di negeri Jelapang Padi itu adalah punca tawaran penajaan pasukan bola sepak negeri tersebut ditolak.
"Tanah di Pokok Sena itu merupakan tapak projek terbengkai sebelum ini dan hasil perbincangan selama dua bulan telah bersetuju agar tanah berkenaan dibangunkan secara kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
"Saya marah bila Presiden KFA dalam Facebooknya pada 4 May memberi alasan bahawa tawaran penajaan saya ditolak adalah demi memastikan hak rakyat negeri itu tidak tergadai.
"Tiada istilah saya mahukan tanah itu secara percuma, dan apa yang saya nak hanyalah untuk pelaburan. Kalau betul saya nak tanah, dengan RM30 juta saya boleh dapat tanah di Selangor.," katanya dalam sidang media yang berlangsung di Wisma D'Herbs Kota Damansara di sini hari ini
Beliau berkata, pihaknya sanggup menawarkan wang bernilai RM100 juta sekiranya ada bukti sedemikian seperti dakwaan Menteri Besar Kedah tersebut.
Dalam masa yang sama, Aliff Syukri mendakwa tiada sebarang sesi perbincangan diadakan sebelum KFA memuktamadkan keputusan penolakan penajaan.
Sebelum ini ada laporan mengatakan bahawa syarat D’Herbs Holding untuk mendapatkan tanah seluas 40 hektar di Pokok Sena menjadi alasan utama KFA sanggup berputih mata kehilangan tajaan RM30 juta.
Menurut laporan itu, permintaan untuk bekerjasama dengan anak syarikat Kerajaan Negeri bagi membangunkan bandar baharu yang akan dinamakan D’Herbs Terlajak Laris disifatkan tidak berbaloi dengan jumlah tajaan yang ditawarkan.
#Ahmad Bashah #Aliff Syukri Kamarzaman #D'Herbs Holding #KFA #persatuan bola sepak kedah