Rakyat Malaysia perlu untuk terus menunjukkan rasa hormat, persefahaman dan perasaan sayang dalam kalangan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, rakyat negara ini juga perlu terus mengekalkan keamanan dan ikatan persahabatan sedia ada dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

"Ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah dirobohkan. Bersatu teguh, bercerai roboh. Marilah tumpukan kepada perkara-perkara positif, yang sebenarnya lebih banyak daripada yang negatif.

"Islam mengajar kita supaya bertoleransi di antara satu sama lain. Dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9, Allah Ta'ala menganjurkan supaya umat Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam yang tidak bermusuhan dengan umat Islam. Sebagai rakyat Malaysia, kita amat beruntung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Krismas yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Dalam perutusan itu, Dr Wan Azizah juga memohon semua rakyat Malaysia supaya mengambil berat akan golongan miskin, uzur, terpinggir dan mereka yang memerlukan tempat untuk berteduh.

"Anggaplah perutusan ini sebagai kad Hari Krismas peribadi saya kepada setiap rakyat yang menyambut Hari Krismas tahun ini. Selamat Hari Krismas. Selamat bercuti," katanya.