Tunku Azizah dianugerah Diploma Kehormat Seni Kraf Batik

Bernama
Januari 18, 2024 07:31 MYT
Raja Permaisuri Agong menerima Diploma Kehormat Seni Kraf Batik daripada Kraftangan Malaysia yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini dianugerahkan Diploma Kehormat Seni Kraf Batik oleh Kraftangan Malaysia melalui Institut Kraf Negara (IKN).
Penganugerahan itu disampaikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan di Istana Negara.
Diploma Kehormat itu merupakan penganugerahan tertinggi di IKN, sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan jasa Tunku Azizah memartabatkan industri kraf negara khususnya dalam bidang kraf tekstil batik.
Selain itu, Seri Paduka juga telah menghasilkan 30 koleksi batik bertemakan Sentuhan Permaisuri: Eksplorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura sepanjang tiga tahun penglibatan baginda di IKN sejak 2020.
Khairul Firdaus ketika ditemui pemberita berkata beliau menjunjung kasih dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Seri Paduka yang telah lama membawa hasil kraf negara ke peringkat antarabangsa.
"Sebenarnya peranan Seri Paduka dalam memperkasa seni kraf ini telah dilaksanakan sekian lama dan ini berjaya ditunjukkan sewaktu lawatan Seri Paduka di luar negara sehingga setiap kali lawatan, hasilnya kita menerima banyak maklumat positif berkenaan seni kraf kita," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia 'Ainu Sham Ramli berkata 30 koleksi batik hasil kerja tangan Tunku Azizah itu akan dipamerkan pada Sambutan Hari Kraf Kebangsaan tahun ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Beliau berkata pameran itu boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi bagi penggiat batik negara untuk menghasilkan lebih banyak produk batik untuk ditawarkan dalam pasaran.
"Sepanjang tiga tahun, Tunku Azizah mencurahkan minat di IKN bermula 2020 dan menghasilkan karya batik daripada inspirasi Seri Paduka sendiri antaranya corak mahupun pemilihan penggunaan warna.
"Itu kemahiran Tunku Azizah yang sangat berharga dan baginda turut berkongsi pengalaman bersama pelajar serta tenaga pengajar di IKN sendiri," katanya.
-- BERNAMA
#Raja Permaisuri Agong #Diploma Kehormat Seni Kraf Batik #Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #institut Kraf Negara