KUALA LUMPUR: Persatuan Pencinta Tekstil Tradisional (CITRA) perlu mengambil peranan mengumpulkan pakar-pakar dalam industri itu, agar produk yang dihasilkan berkualiti seterusnya menarik minat orang ramai di dalam dan di luar negara.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berititah negara memerlukan sebuah badan, untuk memantau semua yang terlibat dalam kraftangan termasuk karyawan, penenun, pereka, dan pemasar kain tradisional, demi memperkayakan warisan tekstil tempatan.

Baginda yang juga Penaung Diraja CITRA bertitah usaha itu bertujuan memelihara dan menperkayakan warisan dan budaya tinggalan nenek moyang kita, untuk ditunjukkan kepada generasi muda masa kini dan akan datang.

"Penubuhan CITRA pada hari ini memang amat wajar sekali, kerana di negara lain telah lama mempunyai persatuan dan bergerak bersama-sama sebagai satu entiti.

"Kita lihat negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, yang membangun dan memajukan seni kraf mereka dengan berkongsi kemahiran antara satu sama lain. Saya amat terinspirasi dengan inisiatif seperti ini dan berharap Malaysia akan mengorak langkah sama," titah baginda dalam ucapan pada majlis pelancaran CITRA, di sini hari ini.

Titah ucapan perasmian Baginda dibacakan Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Aishah Sultan Ahmad Shah.

Tunku Azizah bertitah salah satu fokus Baginda adalah menghidupkan semula Tenun Pahang, yang kini dikenali sebagai Tenun Diraja Pahang dan dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kami juga telah diundang ke London Crafts Week pada Mei akan datang, yang mana Tenun Diraja Pahang akan disertakan dalam koleksi istimewa pereka terkenal dunia, Dolce Gabbana dan Manolo Blahnik," titah baginda.

Sementara itu, Presiden CITRA Nini Marini Ramlan dalam ucapannya berkata matlamat persatuan itu adalah untuk mencipta direktori tekstil tradisional, yang bertujuan mewujudkan hubungan sekali gus dapat memperluaskan rangkaiannya.

"Kami percaya dengan pendedahan ini, ia boleh membantu meningkatkan standard tekstil kita dan menjadi inovatif dalam teknik yang dihasilkan," katanya.

CITRA adalah cetusan idea bekas Pensyarah Tekstil Universiti Teknologi Mara (UiTM) Fatimah Ismail dan Allahyarham Profesor Sulaiman Ghani, kini mempunyai kira-kira 200 ahli yang berdaftar.

-- BERNAMA