MALAYSIA

Tuntung mati tersangkut di rawai di Sungai Kemaman

Bernama 31/01/2026 | 14:00 MYT
Chen berkata pasukan penjaga tuntung TCS diketuai Pengurus Lapangan Dylan Wang pergi ke lokasi selepas menerima laporan dan mendapati dua tali pancing tersangkut pada kaki dan leher reptilia akuatik itu. - Gambar Persatuan Pemuliharaan Tuntung Mal
CHUKAI: Bangkai seekor tuntung sungai dipercayai mati akibat tersangkut pada rawai ditemukan di Sungai Kemaman berhampiran Kampung Pasir Gajah dekat sini, Khamis lepas.


Ringkasan AI
  • Bangkai tuntung sungai mati akibat tersangkut pada rawai di Sungai Kemaman, Kampung Pasir Gajah.
  • Tuntung jantan dewasa berusia 12 tahun ditemui berat 18kg, panjang 47cm, lebar 37cm, mati terapung pada 10.30 pagi.
  • Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS) melakukan tinjauan rutin di Sungai Kemaman untuk elakkan kematian haiwan tersebut.


Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS) Dr Chen Pelf Nyok dalam kenyataan berkata bangkai tuntung jantan dewasa berusia dalam lingkungan 12 tahun seberat 18 kilogram (kg), berukuran 47 sentimeter (cm) panjang serta 37 cm lebar itu ditemukan mati terapung di sungai tersebut pada 10.30 pagi.

Beliau berkata pasukan penjaga tuntung TCS diketuai Pengurus Lapangan Dylan Wang pergi ke lokasi selepas menerima laporan dan mendapati dua tali pancing tersangkut pada kaki dan leher reptilia akuatik itu.

"Tuntung yang terperangkap pada rawai sukar untuk timbul dan bernafas sehingga mengakibatkan kematian," katanya.

Beliau berkata tuntung itu yang pertama ditemukan mati di sungai tersebut pada tahun ini.

Katanya pada tahun lepas, seekor tuntung sungai betina ditemukan mati juga akibat tersangkut pada rawai di sungai berkenaan.

"Kami sentiasa menjalankan tinjauan di Sungai Kemaman secara rutin untuk membersihkan peralatan menangkap ikan yang dibuang bagi mengelakkan kematian yang tidak wajar ini," katanya.

Tuntung dikategorikan sebagai haiwan sangat terancam dan dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

-- BERNAMA



#tuntung #tali pancing #mati terapung #Akta Pemuliharaan Hidupan Liar