JOHOR BAHRU: Pembantu operasi sebuah hospital kerajaan mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan tuntutan palsu membabitkan nilai RM7,050, tiga tahun lalu.

Zuraiha Zakri, 38 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai pembantu operasi di Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Kota Bharu, Kelantan, melakukan semua kesalahan terbabit ketika bekerja di bahagian sama di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2018.

Mengikut kertas pertuduhan, Zuraiha telah memperdaya dengan membuat tuntutan palsu terhadap sebuah syarikat bagi membekalkan makanan dan minuman untuk tiga program berbeza.

Bagaimanapun, ia tidak dibekalkan seperti dalam dokumen pesanan penghantaran (delivery order).

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan pada Julai dan Ogos 2018 di Pusat Penyelidikan Klinikal HSA.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (2) akta sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam, Salleh Tugimin.

Mahkamah menetapkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan jumlah RM2,000 setiap pertuduhan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sekali setiap bulan di Pejabat SPRM Kota Bharu.

Kes disebut semula 21 Oktober depan untuk serahan dokumen.