PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah terkawal dan akan sentiasa mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan negeri bawah bayu itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata anggota keselamatan juga sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, kerana keselamatan merupakan perkara penting negara.

“Kita tidak nampak tanda-tanda atau kesan sebarang ancaman setakat ini...dari segi kawalan sempadan, kita hendak memberi jaminan pihak anggota keselamatan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya mengulas mengenai kebarangkalian kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu akan menceroboh Sabah, selepas gagal dalam tuntutan undang-undang terhadap Malaysia.

Pada 8 Jun, Malaysia melakar kejayaan bersejarah, apabila Mahkamah Rayuan Paris memutuskan untuk mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan Dr Gonzalo Stampa (penimbang tara) pada 25 Mei 2020, dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Kumpulan Sulu itu telah mengambil tindakan undang-undang melalui proses timbang tara antarabangsa terhadap Malaysia di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda, dan Kerajaan Malaysia telah dan sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan, terhadap mereka.

Ditanya mengenai kebocoran maklumat melibatkan isu sempadan antara Malaysia dan Indonesia di peringkat Wisma Putra, Saifuddin Nasution berkata polis sedang menjalankan siasatan.

Beliau juga mengesahkan, Wisma Putra telah membuat laporan polis berhubung isu berkenaan.

Mengulas mengenai tindakan seorang penjawat awam wanita yang tular dalam satu klip video menghina anggota polis Khamis lepas, Saifuddin  Nasution menyifatkan tindakan wanita itu sebagai mencemarkan imej PDRM.

“Saya serahkan kepada PDRM untuk menyiasat kes ini,” katanya.

Pada Khamis, wanita berkenaan dipanggil buat kali pertama ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berhubung insiden pertengkaran dengan dua anggota polis di Taman Sri Gombak, Batu Caves.

Pada Ahad lepas wanita itu sekali lagi hadir di IPD sama, berhubung satu lagi klip video beliau bertengkar dengan orang awam di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini.

Dalam klip video itu, wanita berkenaan dilihat turut merakam orang awam berkenaan menggunakan telefon bimbitnya sambil mengeluarkan kata-kata tidak sopan dan cuba mencetuskan provokasi.

-- BERNAMA