[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Turkiye berhasrat bantu bebaskan sembilan aktivis FFC ditahan Israel - PM Anwar

Seth Akmal 08/10/2025 | 14:45 MYT
Anwar ketika berucap pada Himpunan "Sumud Nusantara: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka” di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Turkiye akan membantu dalam usaha membebaskan sembilan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel pada pagi Rabu.

Menurut Perdana Menteri, perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menerusi Menteri Luarnya, Hakan Fidan kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Sahabat saya Erdogan baru beri mesej melalui menteri luarnya sampaikan kepada Datuk Mohamad Hasan, insya-Allah Turkiye akan terus bantu sembilan (aktivis FFC) itu,” katanya semasa menyampaikan ucap tama di Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Dalam gelombang kedua misi kemanusiaan ini, wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil, adalah antara delegasi misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).

Kapal Conscience yang dinaiki Syafik serta beberapa buah kapal lain telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa pada jam 10.05 pagi Rabu.

Turut ditahan, delegasi Malaysia Profesor Mohd Alauddin Mohd Ali, serta Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hassan.

Delegasi Malaysia lain adalah Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; pensyarah universiti, Profesor Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Dalam himpunan tersebut, Anwar turut menyelar sikap sesetengah masyarakat yang mengkritik usaha para sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) melakukan misi kemanusiaan menuju ke Gaza.

Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap para aktivis yang sanggup mengambil risiko dalam usaha menjayakan misi tersebut walaupun akhirnya dihalang oleh tentera Israel.

“Kamu tak berani pergi kamu doakan, ini tidak kamu hamun dia, kita bangga mereka mencipta sejarah anak-anak yang sanggup berjuang,” katanya.

Anwar turut menyatakan hasrat untuk berunding dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dalam usaha membawa masuk bantuan kemanusiaan menggunakan laluan darat melalui pintu Rafah.

Beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan dengan jemaah menteri, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri.

“Saya akan panggil kawan-kawan bincang bagaimana strategi hendak sampai ke Mesir, pecah tembok Rafah, Kalau boleh minggu depan setelah berunding dengan mereka, saya akan hubungi Presiden Mesir, mudah-mudahan, laluan ini lebih mudah,” katanya.




#Freedom Flotilla Coalition #Israel #Gaza #rejim Zionis