Dalam usaha mempamerkan keunikan dan kepelbagaian di negeri Sarawak, TV Sarawak kini memulakan pencarian bakat seni kreatif dan organisasi yang menetap atau berpangkalan di negeri itu.

Sesi pencarian bakat ini adalah bagi mencipta kepelbagaian kandungan rancangan untuk platform tersebut.

Antara lain usaha ini juga bagi mencari mereka yang berpotensi dalam menggarap cerita-cerita baharu yang unik dan menarik di Sarawak menerusi pengisian yang lebih mantap dan segar.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Sarawak Media Group (SMG), antara kategori kandungan kreatif yang ingin diterbitkan termasuk drama bersiri, telemovie, sitkom dan animasi.

"Juga bagi kategori bukan fiksyen meliputi program dokumentari, majalah, rancangan realiti dan bual bicara.

"Justeru bagi individu yang berminat mestilah merupakan warganegara Malaysia yang menetap di Sarawak dan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan ke atas.

"Manakala bagi organisasi atau syarikat produksi industri kreatif yang berminat mestilah beroperasi di Malaysia dan 50 peratus daripada kepentingan syarikat tersebut dimiliki oleh anak Sarawak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagi mereka yang berminat boleh meneliti kriteria bagi setiap genre yang digariskan TV Sarawak menerusi laman web www.tvsarawak.com/pitchit dan boleh menghantar penyertaan menerusi borang yang dimuat turun di laman web TV Sarawak ke email [email protected] sebelum 5 Ogos depan.