KUALA LUMPUR: Pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinasihatkan untuk menyemak penarafan sesebuah institusi pendidikan bagi memastikan kursus yang ditawarkan itu selari dengan permintaan dan kebolehpasaran industri.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes berkata, ranking penarafan kolej-kolej TVET ditentukan Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi parameter yang digariskan berdasarkan permintaan dan  indikasi yang holistik daripada penggiat industri bagi mengelakkan ketidakpadanan.

Beliau menjelaskan, penilaian itu dilakukan setiap dua tahun untuk memastikan status pelaksanaan program TVET mengikut piawaian KESUMA.

Selain itu, katanya, institusi pendidikan itu juga perlu mengemukakan dokumen audit di mana proses tersebut akan dilakukan secara fizikal.

"Antara aspek yang diteliti ketika lawatan tersebut adalah pertama sama ada fasiliti latihan yang ditawarkan itu memenuhi spesifikasi industri atau sebaliknya. Kedua pelaksanaan program mengikut kehendak industri.

"Ketiga tahap kebolehpasaran graduan TVET dan keempat penerimaan gaji mengikut kesesuaian industri dan persijilan yang ditawarkan," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat. 

Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group memaklumkan, pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang terbabit supaya menyemak penarafan institusi pendidikan berkaitan menerusi laman rasmi web JPK https://www.dsd.gov.my/.

Anak syarikat SG Education Group, SG Akademik, peneraju utama TVET sejak 2001 menerima penarafan lima bintang pada Anugerah Penarafan Tunggal Program TVET 2023  oleh JKM pada minggu lalu, iaitu empat tahun berturut-turut sejak 2019.

Pengiktirafan secara konsisten kepada SG Akademi itu bukan sahaja mengiktirakan sumbangan institusi pendidikan itu kepada kelestarian TVET malah menekankan kepentingan akreditasi kerajaan dalam memastikan kualiti dan kredibiliti program-program TVET di Malaysia.

Penarafan lima bintang itu dianugerahkan kepada 11 program yang ditawarkan SG Education iaitu Pengendalian Dron, Pemerintahan Misi Dron, Penyediaan dan Pembuatan Makanan, Operasi Sistem Komputer, Pentadbiran Sistem Komputer, Pembangunan Kandungan Kreatif, Rekabentuk Multimedia Interaktif, Perkhidmatan Kejuruteraan Automasi Industri, Pemasangan Sistem Kejuruteraan Automasi Industri dan Sokongan Sistem Kejuruteraan Automasi Industri.

Sehingga kini terdapat sebanyak 1,345 institusi TVET di Malaysia, yang membabitkan 12 kementerian, selain 94,000 pelajar sedia ada TVET di kolej vokasional dan sekolah menengah teknik.