Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

TVET bukan lagi pilihan kedua, penyertaan cecah 65 peratus tahun depan - Ahmad Zahid

Bernama 22/11/2025 | 14:15 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno menyampaikan ucapan pada program Jelajah TVET MARA di Dataran Kinabatangan, hari ini. - Foto BERNAMA
KINABATANGAN: Penyertaan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijangka meningkat daripada 57.4 peratus tahun ini kepada 65 peratus pada akhir tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Ringkasan AI
  • Penyertaan pelajar lepasan SPM dalam program TVET dijangka meningkat daripada 57.4% kepada 65% pada tahun depan, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
  • TVET kini menjadi pilihan utama belia muda dengan janji gaji premium, di mana pemegang Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu hingga tiga boleh mula dengan gaji RM2,500.
  • Kebolehpasaran TVET di bawah Kementerian Kerja Raya khususnya Institut Binaan Malaysia adalah 100%, sementara negara mempunyai 1,398 institusi TVET yang menawarkan lebih 4,500 kursus.


Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata program TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua atau khusus bagi mereka yang gagal dalam bidang pelajaran, sebaliknya menjadi pilihan utama anak-anak muda di negara ini.

Beliau berkata TVET kini menjanjikan gaji premium dan memberikan contoh pemegang Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu hingga tiga boleh menikmati gaji permulaan sebanyak RM2,500.

"Dari segi kebolehpasaran, daripada 100 orang yang masuk institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebanyak 98.7 peratus memperoleh pekerjaan sebelum tamat kursus," katanya semasa berucap pada Program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata meskipun kebolehpasaran TVET seluruh negara adalah 95.1 peratus dan MARA 98.7 peratus, kebolehpasaran TVET di bawah Kementerian Kerja Raya khususnya Institut Binaan Malaysia (IBM) adalah 100 peratus.

Beliau berkata pada masa ini terdapat enam universiti yang menawarkan kursus TVET iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Malaysia Perlis.

"Sebenarnya mereka yang masuk ke universiti menawarkan kursus TVET ini tidak salah pilihan malah, ibu bapa mula mempercayai TVET untuk memasukkan anak-anak mereka," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata negara kini mempunyai 1,398 institusi TVET yang menawarkan lebih 4,500 kursus termasuk kursus berkemahiran tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT), robotik dan kenderaan elektrik (EV).

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beberapa langkah turut diambil untuk menawarkan kursus TVET kepada pelajar maahad tahfiz sebagai contoh di UniKL dengan 750 pelajar daripada latar belakang sekolah pondok sedang mengikuti program di Fakulti Aeroangkasa dan Fakulti Kejuruteraan Marin.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA




#TVET #pelajar lepasan SPM #pilihan utama #Ahmad Zahid Hamidi