TVET Perak: TVET Modular Industri bantu rakyat keluar dari kemiskinan

Program TVET Modular Industri Perak merupakan latihan kemahiran jangka pendek yang disusun mengikut keperluan industri.
BATU GAJAH: Inisiatif TVET Modular Industri yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri Perak melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus membuahkan hasil apabila semakin ramai rakyat negeri ini berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan melalui kemahiran baharu yang diperoleh.
Ringkasan AI
- Inisiatif TVET Modular Industri di Perak melalui PASAK membantu rakyat keluar daripada kemiskinan dengan memperoleh kemahiran baharu.
- Program ini memberi peluang kepada golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan selepas pandemik COVID-19 untuk meningkatkan semula kemahiran mereka.
- Melalui program TVET Modular Industri, hampir 900 peserta berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat latihan, menunjukkan kesan positif terhadap ekonomi negeri.
“Kita berterima kasih kepada Menteri Besar Perak yang mana dengan wujudnya program TVET ini rakyat tempatan dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dari segi sosial dan ekonomi.
"Mungkin sebelum ni mereka tiada apa-apa, dan apabila MB sarankan ‘satu orang satu skill’, dengan kemahiran itulah mereka akan membawa haluan dan keluar dari kemiskinan itu,” katanya dalam episod khas AWANI Pagi.
Ujarnya lagi, program TVET Modular Industri turut menjadi platform upskilling kepada golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan, khususnya selepas pandemik COVID-19.
“Salah satu inisiatif Menteri Besar dan kerajaan negeri bersama PASAK ialah mewujudkan latihan modular, untuk tingkatkan kemahiran semula pekerja.
"Dengan kerjasama bersama PASAK, kita wujudkan modul industri yang secara tak langsung membantu pihak industri yang perlukan tenaga kerja mengikut spesifikasi tersendiri,” tambahnya.
Program TVET Modular Industri Perak merupakan latihan kemahiran jangka pendek yang disusun mengikut keperluan industri.
Ia memberi peluang kepada belia, penganggur, dan pekerja diberhentikan kerja untuk memperoleh kemahiran baharu dalam bidang seperti automotif, kimpalan, mobiliti elektrik dan pemasaran digital.
Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM6.5 juta tahun ini bagi memperkukuh ekosistem TVET, dengan lebih 2,800 peserta mengikuti 151 kursus sepanjang tahun lalu. Daripada jumlah itu, hampir 900 peserta berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat latihan.
Bagi Mentor TVET Modular Industri, Shafizul Ezwan Zulkiply, beliau menyifatkan program ini bukan sahaja mengajar kemahiran teknikal, malah turut mengubah cara peserta melihat masa depan.
“Kita bukan sahaja belajar tentang kemahiran, tapi juga bagaimana nak ubah hidup.
"Kerajaan negeri Perak sentiasa nasihatkan peserta untuk bangunkan diri, malah ada agensi yang bantu beri pinjaman kewangan untuk buka bisnes,” ujarnya.
Program ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan berdikari, sekaligus menjadikan TVET sebagai laluan strategik mengangkat taraf hidup rakyat serta memperkukuh ekonomi negeri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


