TVET perkenal kursus baharu berkaitan EV, tenaga suria bagi penuhi permintaan pasaran

Bernama
Oktober 15, 2023 20:20 MYT
Ahmad Zahid (tengah) beramah mesra dan bergambar kenangan bersama pemuda-pemuda UMNO selepas merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Tangga Batu di Paya Rumput, Melaka, 15 Okt 2023. --fotoBERNAMA
MELAKA: Kerajaan akan memperkenal kursus baharu berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga suria di bawah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menerusi peruntukan RM6.8 bilion terutama di Melaka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia selari dengan dasar kerajaan negeri Melaka yang kini memberi fokus kepada teknologi itu yang kini mendapat permintaan tinggi pelabur untuk tenaga boleh baharu.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata ia merupakan peluang terbaharu ditawarkan Melaka sesuai dengan permintaan guna tenaga sumber manusia bagi tenaga boleh baharu dan juga keperluan guna tenaga untuk pekerjaan berteknologi tinggi.
"Bukan sahaja pelabur akan datang ke Melaka tetapi pelabur di negeri lain mungkin perlukan tenaga yang sama dan TVET ini boleh diperkasakan di Melaka," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata peruntukan RM6.8 bilion itu juga akan diguna untuk memperbesarkan institusi TVET di seluruh negara bagi menambah jumlah pelajar untuk mengikuti kursus-kursus baharu berkaitan tenaga boleh baharu itu.
Malaysia kini mempunyai 1,334 institusi TVET di seluruh negara membabitkan 12 kementerian yang fokus memberi latihan kemahiran kepada rakyat.
-- BERNAMA
#TVET #kursus baharu #Zahid Hamidi #Tenaga Boleh Diperbaharui