MALAYSIA
"Tweet PM gagal beri kesan pada PRU13" - Kajian UMCEDEL
Kaji selidik sebuah universiti tempatan telah mendapati bahawa tweet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam laman Twitternya pada pilihan raya umum ke-13 lalu, gagal memberi kesan kepada pengundi.
Pusat Kajian Demokrasi dan Piliharaya Universiti Malaya (UMCEDEL) dalam satu kaji selidik oleh Dr Surinderpal Kaur, menunjukkan tweet Najib kurang memberikan kesan meskipun ramai warga Twitterjaya membacanya.
Jelasnya, ia mungkin disebabkan tweet Perdana Menteri itu hanya disambut atau dibalas oleh pengikutnya sahaja, serta tidak menolak kemungkinan ada di antara mereka yang berbayar.
“Untuk dapatkan kesan positif… pengikut media sosial Najib seharusnya menyalurkan segala maklumat dalam Twitter perdana menteri itu kepada masyarakat di luar jaringan mereka,” katanya dalam bengkel pasca PRU13 anjuran UMCEDEL.
UMCEDEL telah mengadakan satu kajian pasca PRU13 bagi mengetahui faktor kekalahan atau kemenangan sesuatu kawasan termasuk mengadakan soal selidik pada sebelum, ketika dan selepas PRU13.
Pada April lalu, sebelum PRU13, UMCEDEL telah membuat tinujauan yang menunjukkan 43 peratus pengundi berpendapat bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak menjadi perdana menteri.
Bagi Najib pula, 39 peratus pengundi berkata beliau layak menjadi perdana menteri sementara 31 peratus lagi tidak setuju dan selebihnya tidak pasti.
Kajian itu kemudiannya ditolak oleh Najib yang menyifatkannya sebagai karut sambil menegaskan yang beliau yakin BN berada di laluan untuk memenangi PRU13.
Beliau juga tidak setuju dengan kajian tersebut yang menunjukkan beliau ketinggalan empat mata di belakang Anwar untuk menjadi perdana menteri Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami