Skip to main content

Malaysia

TXA 2026 platform strategik pacu transformasi pengangkutan Malaysia - Loke

Loke akan merasmikan pembukaan ekspo itu pada 20 Okt, diikuti pameran dan sesi selari yang merangkumi strategi pengangkutan, penerbangan, maritim, pengangkutan darat dan keselamatan jalan raya. - Gambar fail/Bernama
Loke akan merasmikan pembukaan ekspo itu pada 20 Okt, diikuti pameran dan sesi selari yang merangkumi strategi pengangkutan, penerbangan, maritim, pengangkutan darat dan keselamatan jalan raya. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penganjuran Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di sini minggu depan bakal menjadi platform strategik dalam mempersiapkan Malaysia menghadapi transformasi sektor pengangkutan menerusi penerapan teknologi baharu, pengukuhan kerjasama strategik dan perkongsian idea.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ekspo yang akan berlangsung dari 20 hingga 22 Okt di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu, turut menjadi platform penting dalam membentuk hala tuju masa depan pengangkutan negara.

“Daripada teknologi kenderaan autonomi dan kenderaan elektrik (EV) hingga kepada sistem logistik generasi baharu, kita bukan sahaja perlu mengikuti perkembangan global malah memastikan Malaysia bersedia menghadapi transformasi ini dengan penuh keyakinan, berteraskan inovasi dan kelestarian,” katanya dalam satu kenyataan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini

Menurut MOT, acara tersebut bakal menghimpunkan pemain industri tempatan dan antarabangsa, pakar serta pihak berkepentingan, dengan penglibatan lebih 150 penceramah, lebih 60 sesi forum dan pameran merentas pelbagai sektor yang memfokuskan masa depan mobiliti, pendigitalan pengangkutan, penyahkarbonan, keselamatan jalan raya dan kesalinghubungan serantau.

Antara acara utama ialah Forum Kesalinghubungan Pengangkutan ASEAN yang akan berlangsung pada 21 Okt, membincangkan aspek daya saing kargo, integrasi pengangkutan pelbagai mod, kecerdasan buatan (AI) serta pemudahcaraan perdagangan digital.

Perbincangan turut merangkumi perkembangan projek utama landasan kereta api, termasuk Laluan Kereta Api Rentas Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link), selain pendigitalan operasi kereta api serta kerjasama strategik menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU).

Hari terakhir ekspo akan memberi tumpuan kepada pengangkutan awam bersepadu, keselamatan kenderaan autonomi, infrastruktur pintar dan pengukuhan kesalinghubungan pengangkutan barangan melalui rel bagi menyokong rangkaian logistik yang lebih efisien.

MOT memaklumkan pameran akan turut menampilkan demosntrasi teknologi pengangkutan baharu di dalam dan luar dewan, termasuk EV, pemanduan autonomi, aplikasi berasakan AI, simulasi pelanggaran kenderaan serta sistem brek kecemasan automatik untuk motosikal.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi teknologi logistik dan kenderaan elektrik ringan, sekali gus memberikan pendedahan secara langsung kepada penyelesaian yang mampu meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kelestarian dalam pergerakan penumpang serta barangan

Program berkenaan akan bermula pada 19 Okt dengan Kongres Keselamatan Jalan Raya 2026 dan tiga bengkel anjuran Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), dengan aktiviti pada hari itu akan memberi tumpuan kepada keselamatan jalan raya, automasi operasi darat, identiti digital serta pertukaran data kargo

Loke akan merasmikan pembukaan ekspo itu pada 20 Okt, diikuti pameran dan sesi selari yang merangkumi strategi pengangkutan, penerbangan, maritim, pengangkutan darat dan keselamatan jalan raya.

Topik utama lain yang akan dibincangkan termasuk peralihan tenaga, pembangunan tenaga kerja sektor pengangkutan bagi keperluan masa depan, pembangunan berorientasikan transit, reformasi undang-undang maritim serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pembekalan bahan api kapal serantau.

Majlis Anugerah dan Makan Malam Gala TXA turut akan diadakan di hotel terkemuka di sini bagi mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan pencapaian dalam sektor pengangkutan.

Pameran akan berlangsung di Dewan 2 dan 3, Aras 1, MITEC dari 10 pagi hingga 6 petang pada 20 dan 21 Okt, serta dari 10 pagi hingga 5.30 petang pada 22 Okt. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.txa.my.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement