KUALA LUMPUR: Semangat perjuangan dan pencapaian atlet negara menjadi fokus kempen “Semangat Membara, Untukmu Malaysia” yang dibawakan U Mobile bersama Astro sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Kempen itu mengetengahkan kisah wira sukan Malaysia bukan sahaja berdasarkan pingat dan rekod yang diraih, tetapi turut mengangkat perjalanan, pengorbanan serta keazaman yang menjadi asas kepada kejayaan mereka.
Bagi bekas jaguh skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, semangat membara membawa makna tersendiri kepada setiap rakyat Malaysia dan perlu terus dihidupkan sebagai lambang kecintaan terhadap negara.
“Semangat membara ialah apa untuk semua rakyat Malaysia yang mereka pentingkan, apakah makna, maksudnya Malaysia kepada diri sendiri.
“Jadi saya harap api takkan tutup dengan semangat membara dari semua rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada acara “Light Up KL” di Dataran Merdeka, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, bekas atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, menyifatkan semangat tersebut sebagai dorongan untuk memberikan yang terbaik setiap kali mewakili Malaysia.
“Semangat membara untuk saya adalah apabila saya mewakili Malaysia dan itulah semangat diri saya untuk buat yang terbaik,” ujarnya ringkas.
Bagi skuad sepak takraw negara pula, semangat membara diterjemahkan melalui keazaman untuk terus berjuang dan tidak mengalah ketika membawa nama Malaysia.
“Semangat membara bagi kami adalah semangat yang terus berjuang dan tidak mudah mengalah,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada kempen berkenaan, U Mobile dan Astro turut menghadirkan pameran interaktif khas di Bangunan Sultan Abdul Samad dari 31 Ogos hingga 16 September, yang memberi peluang kepada orang ramai mengenali kisah serta pencapaian wira sukan negara.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada “Light Up KL”, sambutan yang berlangsung di Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad, dianjurkan Astro dan digerakkan bersama U Mobile bersempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 serta ulang tahun ke-30 Astro.
Antara tarikan utama acara berkenaan ialah persembahan cahaya dron yang digerakkan menggunakan U Mobile ULTRA5G, selain paparan pemetaan projek pada bangunan bersejarah Bangunan Sultan Abdul Samad.
Acara turut menampilkan persembahan muzik secara langsung serta penampilan barisan atlet negara termasuk Datuk Nicol Ann David, Farah Ann, Aniq Kasdan, Karamjit Singh dan anggota skuad sepak takraw negara.
Menerusi “Semangat Membara, Untukmu Malaysia”, U Mobile bersama Astro bukan sahaja meraikan pencapaian atlet, malah mengetengahkan nilai ketekunan, pengorbanan dan semangat tidak mudah mengalah yang menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka dalam mengharumkan nama Malaysia.