NATIONAL
U Mobile lantik Huawei, ZTE bantu pacu rangkaian NEXT GEN 5G bertaraf perusahaan di Malaysia

Barisan kepimpinan U Mobile bersama wakil kerajaan Malaysia dan China serta rakan teknologi Huawei dan ZTE pada majlis pengumuman pelaksanaan rangkaian 5G Generasi Baharu bertaraf perusahaan, bertempat di PICC pada Selasa. - Gambar U Mobile
PUTRAJAYA: U Mobile mengumumkan pelantikan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd sebagai rakan teknologi strategik bagi melaksanakan rangkaian NEXT GEN 5G bertaraf perusahaan di Malaysia.
Pengerusi U Mobile, Tan Sri Vincent Tan berkata, Huawei akan bertanggungjawab terhadap pelaksanaan 5G di Semenanjung Malaysia manakala ZTE akan mengendalikan pelaksanaan di Malaysia Timur.
Menurut beliau, kedua-dua syarikat teknologi itu merupakan rakan infrastruktur jangka panjang U Mobile dan memiliki rekod pelaksanaan global yang terbukti.
“Huawei dan ZTE bukanlah asing bagi U Mobile. Sebagai rakan infrastruktur jangka panjang kami, mereka mempunyai rekod cemerlang dalam pelaksanaan rangkaian di peringkat global. Maka, kami yakin untuk mengorak langkah perniagaan seterusnya bersama mereka,” katanya.Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, pelaksanaan ini dijangka mempercepatkan penerimagunaan teknologi 5G dalam sektor perusahaan serta menyokong matlamat pendigitalan negara.
Jelasnya, rangkaian baharu ini bakal memperkukuh pengalaman pengguna dalam dan luar bangunan, selain menawarkan sambungan yang mampan dan bersedia untuk keperluan masa hadapan.
“Kami percaya, rangkaian NEXT GEN 5G bertaraf perusahaan ini akan meningkatkan pengalaman menyeluruh pelanggan sama ada untuk penggunaan awam mahupun sektor perusahaan. Kami juga akan meningkatkan persaingan dalam industri dengan menyediakan lebih banyak pilihan di peringkat borong. Paling penting, kami berharap untuk merangsang inovasi dan penerimagunaan penyelesaian digital,” ujarnya.
U Mobile menyasarkan liputan kawasan berpenduduk (CoPA) sebanyak 80 peratus dalam tempoh 12 bulan pertama pelaksanaan dan meningkat kepada 90 peratus dalam tempoh setahun berikutnya.
Syarikat itu menjelaskan bahawa keupayaan 5G dan 5G-Advanced (5G-A) akan digerakkan menerusi teknologi pembahagian rangkaian atau network slicing yang membolehkan prestasi dioptimumkan mengikut keperluan industri, perusahaan dan pengguna akhir.
Majlis menandatangani perjanjian strategik itu disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Setiausaha Parti Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, Li Lecheng di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
U Mobile turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas sokongan terhadap pelaksanaan model dwi rangkaian yang diyakini mampu memperkukuh ekosistem digital negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun berkata, kerjasama itu bakal mempercepatkan transformasi digital dan membentuk ekosistem menyeluruh ke arah masa depan yang lebih pintar dan berdaya saing.
“Kami komited untuk menyokong ekonomi digital Malaysia dengan membentuk DNA iaitu Digitalisation, Network Modernisation dan AI Adoption bagi memperkasa perusahaan dan masyarakat digital,” katanya.
ZTE pula menyifatkan pelantikan itu sebagai kepercayaan besar terhadap keupayaan teknologinya, termasuk dalam pembangunan rangkaian teras 5G CommonCore dan Radio Access Network (RAN) yang telah diiktiraf oleh firma analisis antarabangsa seperti GlobalData dan Omdia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami