Ubah polisi saat akhir bebankan mahasiswa - Syed Saddiq

Rahimah Abdullah
September 28, 2020 12:22 MYT
Syed Saddiq berkata kerajaan perlu membantu pelajar terbabit yang mengalami kerugian susulan pengumuman saat akhir berkenaan.
KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan saranan Kementerian Pengajian Tinggi kepada institusi pengajian tinggi (IPT) supaya menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar dari zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Ahli Parlimen Muar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu, berkata perubahan yang dibuat pada saat-saat akhir akan membebankan mahasiswa.
"Saya sudah sekian lama tegur polisi yang diubah pada minit terakhir akan bebankan mahasiswa.
Tinggal dua hari lagi sudah bulan Oktober. Mengapa baru semalam umum tangguh? Adakah mahasiswa semua sudah ambil maklum? Jika yang sudah tempah tiket penerbangan?," katanya melalui status terbaharu di laman Twitternya pada Isnin.
Kata Syed Saddiq, beliau hanya mengetahui perubahan itu melalui media sosial.
Justeru katanya, kerajaan perlu membantu pelajar terbabit yang mengalami kerugian susulan pengumuman saat akhir berkenaan.
"Tolong segerakan makluman kepada semua pelajar. Saya pun baru tahu melalui media sosial. Jika ada kerugian yang ditanggung pelajar akibat pengumuman minit terakhir begini, kerajaan kena sedia bantu mereka yang susah," ujarnya.

Saya sudah sekian lama tegur polisi yang diubah pada minit terakhir akan bebankan mahasiswa. Tinggal 2 hari lagi sudah bulan Oktober. Mengapa baru semalam umum tangguh? Adakah mahasiswa semua sudah ambil maklum? Jika yang sudah tempah tiket penerbangan? https://t.co/ZKnEEhqBLi

— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) September 28, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Ahad, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad menyarankan semua IPT menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Beliau dilaporkan berkata, kementerian mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.
#Muar #Parlimen #media sosial #pelajar #kerajaan #sukan #menteri #Belia #penerbangan #IPT #Institusi Pengajian Tinggi