KUALA LUMPUR: Hampir tiga daripada setiap 10 kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 17 tahun di Malaysia berdepan masalah berat badan berlebihan atau obesiti, sekali gus meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik apabila mereka meningkat dewasa.
Pakar Pediatrik Pantai Hospital Ampang, Dr Goh Chun Hwee, berkata berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, kira-kira 30 peratus kanak-kanak dan remaja dalam kumpulan umur itu mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, satu trend yang membimbangkan bagi kesihatan awam negara.
Menurut beliau, jika keadaan itu tidak ditangani sejak awal, lebih ramai golongan dewasa muda berisiko mengalami pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) pada masa hadapan.
"Apabila semakin ramai kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, kita boleh menjangkakan lebih ramai orang dewasa muda akan berhadapan dengan komplikasi kesihatan berkaitan obesiti pada masa depan," katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.
Dr Chun Hwee berkata, antara cabaran utama dalam usaha menangani masalah obesiti kanak-kanak adalah persepsi sesetengah masyarakat yang menganggap kanak-kanak berisi sebagai sihat.
"Masih terdapat golongan yang beranggapan kanak-kanak yang kelihatan kurus tidak mendapat makanan mencukupi, manakala kanak-kanak yang berisi dianggap sihat dan akan menjadi kurus apabila meningkat dewasa.
"Persepsi seperti itu sebenarnya kurang tepat. Penilaian sama ada seseorang kanak-kanak itu obes atau tidak tidak boleh dibuat berdasarkan pemerhatian secara visual semata-mata," katanya.
Menurut Dr Chun Hwee, penilaian perlu dilakukan menggunakan Indeks Jisim Badan (BMI) serta carta pertumbuhan yang bersesuaian dengan umur dan jantina kerana setiap kanak-kanak melalui fasa tumbesaran yang berbeza.
Mengulas mengenai kesan obesiti, beliau berkata masalah itu bukan sahaja meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, malah boleh menyebabkan pelbagai komplikasi yang kebiasaannya dikaitkan dengan golongan dewasa.
"Kita kini melihat lebih ramai remaja menghadapi masalah kesihatan yang lazimnya berlaku dalam kalangan orang dewasa. Lemak berlebihan memberi tekanan kepada sendi dan tulang, selain boleh menyebabkan masalah pada lutut dan kaki.
"Ia juga boleh mengakibatkan gangguan pernafasan ketika tidur, berdengkur dan seterusnya meningkatkan risiko komplikasi kesihatan yang lebih serius," katanya.
Beliau berkata obesiti turut meningkatkan risiko sindrom metabolik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
"Selain itu, kesannya tidak terhad kepada aspek fizikal semata-mata kerana kanak-kanak obes turut berdepan cabaran psikologi termasuk menjadi mangsa buli dan dipulaukan oleh rakan sebaya.
"Masalah psikologi dalam kalangan kanak-kanak obes juga serius dan perlu diberi perhatian kerana ia boleh menjejaskan keyakinan diri serta perkembangan sosial mereka," katanya.
Mengulas faktor penyumbang obesiti kanak-kanak, Dr Goh berkata ia boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu pengambilan kalori berlebihan, gaya hidup tidak aktif dan faktor perubatan tertentu.
Menurutnya, lebihan kalori yang tidak digunakan oleh badan akan disimpan sebagai lemak dan akhirnya menyumbang kepada pertambahan berat badan.
Beliau menjelaskan keperluan kalori harian kanak-kanak berbeza mengikut umur, jantina dan tahap tumbesaran.
"Kanak-kanak berumur bawah empat tahun secara umumnya memerlukan antara 1,000 hingga 1,400 kilokalori sehari. Apabila memasuki usia sekolah rendah, keperluan meningkat kepada sekitar 1,400 hingga 2,000 kilokalori sehari.
"Bagi remaja pula, keperluan harian boleh mencecah sehingga 3,000 kilokalori bergantung kepada tahap tumbesaran dan aktiviti fizikal," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata budaya makanan yang pelbagai di Malaysia turut menjadi cabaran dalam usaha mengawal pengambilan kalori harian.
Katanya, ramai ibu bapa tidak menyedari kewujudan kalori tersembunyi dalam makanan ringan dan snek yang diambil secara kerap oleh kanak-kanak.
"Apabila makanan ringan dan snek berkalori tinggi diambil setiap hari, risiko pertambahan berat badan akan meningkat dan akhirnya menyumbang kepada obesiti," katanya.
Sehubungan itu, Dr Goh menggesa ibu bapa membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memantau tumbesaran serta berat badan mereka.
Beliau juga menekankan kepentingan pemakanan sihat sejak usia muda dengan menggantikan snek kurang berkhasiat kepada buah-buahan dan makanan lebih seimbang.
Selain itu, aktiviti fizikal perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup harian keluarga.
"Kita tidak semestinya perlu melakukan senaman yang berat. Berjalan kaki lebih banyak, menggunakan tangga dan meningkatkan aktiviti harian secara konsisten sudah memadai untuk membantu meningkatkan kesihatan kanak-kanak.
"Perubahan kecil yang diamalkan secara berterusan mampu memberi kesan besar dalam mencegah obesiti," katanya.