KUALA LUMPUR: “Terima kasih kerana memilih Mommy.”
Demikian antara ucapan menyentuh hati anak pelakon Bella Astillah, Ayden yang ditujukan kepada ibunya dan Syed Saddiq pada majlis resepsi mereka, malam tadi.
Ayden yang menyampaikan ucapan bersama adiknya, Ara turut berkongsi bagaimana dia melihat perubahan dalam kehidupan ibunya selepas kehadiran Syed Saddiq.
Dalam ucapannya, Ayden mengakui, dia dan adiknya mungkin tidak memahami sepenuhnya segala yang berlaku, namun sebagai seorang anak, apa yang paling diinginkannya ialah melihat ibunya kembali tersenyum dan bahagia.
“Saya dan Ara, kadang-kadang saya tak berapa faham dengan semua benda yang berlaku.
“Saya cuma tahu yang Mommy tengah sedih dan sebagai anak lelaki dia, satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah untuk melihat Mommy tersenyum semula.
“Kemudian, awak (Daddy) hadir dalam hidup dia. Perlahan-lahan, saya mula nampak Mommy lebih banyak tersenyum dan lebih banyak mendengar dia ketawa. Saya nampak Mommy kembali gembira semula,” katanya dalam nada sebak.
Ayden turut menzahirkan penghargaan kepada Syed Saddiq kerana menerima dirinya dan Ara seadanya serta tidak pernah membuatkan mereka berasa tersisih.
“Awak terima kami seadanya. Awak tak pernah buat kami rasa yang kami ni cuma sekadar anak Mommy saja.
“Awak buat kami rasa yang kami juga adalah sebahagian daripada keluarga awak. Terima kasih kerana memilih Mommy. Terima kasih kerana menyayangi dia,” katanya.
Ucapan berkenaan mengundang suasana sebak buat Bella dan Syed Saddiq pada hari istimewa mereka.
Majlis resepsi perkahwinan pasangan itu dihadiri 3,000 tetamu.
Syed Saddiq dan Bella mengenakan busana bertemakan tradisional Melayu berona merah dan diikuti suit berwarna hitam serta gaun putih labuh.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Didi Astilah dan vokalis Nidji, Muhammad Yusuf Nur Ubay atau Ubay.
Selain rakan selebriti, majlis resepsi penuh warna-warni kemeriahan dan kegembiraan itu diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan dari kalangan pemimpin negara dan barisan menteri.
Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis diadakan di Menara Merdeka Maybank, di sini, pada 10 Oktober lalu.
Pasanga berkenaan juga akan diraikan dalan dua lagi majlis resepsi bertema Kenduri Rakyat di kampung halaman masing-masing iaitu di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.