[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Ucapan tahniah, Selamat Pengantin Baharu iringi Raja Muda Selangor sempena istiadat pernikahan

Bernama 02/10/2025 | 04:30 MYT
Tengku Amir Shah (tengah) berkenan diarak dengan menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1 menyusuri Jalan Istana menuju ke Istana Alam Shah sempena Istiadat Perarakan Pernikahan Diraja Raja Muda Selangor pagi ini. - Gambar Bernama
KLANG: Laungan Daulat Tuanku! berserta sepanduk terterta ucapan tahniah dan Selamat Pengantin Baharu mengiringi perarakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung di sini, hari ini.

Suasana penuh meriah menyelubungi bandar diraja itu apabila ribuan rakyat memenuhi laluan utama seawal 6 pagi bagi menyaksikan hari istimewa Putera Selangor itu dengan pasangannya Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Terdahulu, Raja Muda Selangor yang kelihatan berseri mengenakan busana putih dan bersongkok diarak sejauh kira-kira 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1.

Tengku Amir Shah diiringi kerabat diraja dan orang besar istana diikuti pasukan Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat dengan dimeriahkan paluan kumpulan kompang Istana Diraja Selangor.

Perarakan turut dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Muhammad Farhan Wijaya bagi memberkati istiadat pernikahan yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah secara tertutup.

Pada perarakan kira-kira 20 minit itu, rakyat pelbagai kaum tidak melepaskan peluang merakam momen bersejarah itu dengan masing-masing mengenakan pakaian tradisional seperti baju Melayu dan batik sebagai menghormati istiadat.

Istiadat Akad Nikah berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada 10 pagi.

-- BERNAMA

#Raja Muda Selangor #Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah #pernikahan diraja #Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz