Ucapan Tun M terhenti apabila Hanipa rebah

Firdaus Azil
Julai 9, 2018 01:23 MYT
Hanipa dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut. - Astro AWANI/Firdaus Azil
Ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya terhenti seketika apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin tiba-tiba rebah di atas pentas.
Sejurus beliau rebah, hadirin di perhimpunan itu yang terdiri dari pegawai-pegawai kanan dan penjawat awam di bawah JPM cemas seketika, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta para petugas keselamatan bergegas memberi bantuan kecemasan kepada Hanipa.
Ambulans tiba kira-kira 5 minit kemudian dan difahamkan beliau dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.
Dua tahun sebelum ini Ahli Parlimen Sepang dari Parti Amanah Negara itu pernah menjalani pembedahan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Jabatan Neurologi Hospital Kuala Lumpur akibat serangan sakit ahmar.
Beliau juga pernah pengsan secara tiba-tiba di Dewan Rakyat.
#Hanipa Maidin #hospital putrajaya #Perdana Menteri #Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri #Putrajaya #Timbalan Menteri #Tun Dr Mahathir Mohamad #Wan Azizah Wan Ismail