MALAYSIA

UEC bukan syarat masuk universiti ternama China - Asyraf Wajdi

Sinar Harian 14/12/2025 | 10:15 MYT
Asyraf Wajdi berkata UEC tidak diperlukan sebagai syarat kemasukan ke universiti-universiti terkemuka di China seperti Tsinghua dan Peking. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan syarat kemasukan bagi universiti-universiti ternama di China seperti Universiti Tsinghua, Universiti Peking dan Universiti Shanghai Jiao Tong.


Ringkasan AI
  • Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak diperlukan sebagai syarat kemasukan ke universiti-universiti terkemuka di China seperti Tsinghua dan Peking.
  • MARA memperkenalkan penguasaan bahasa ketiga seperti Arab, Mandarin, Perancis, Jerman, Jepun, dan Korea di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) untuk pelajar cemerlang SPM.
  • Pelajar yang mahir dalam salah satu bahasa ketiga tersebut akan diberi keutamaan untuk ditaja ke universiti-universiti terkemuka di luar negara, dengan matlamat melahirkan generasi teknokrat yang berkebolehan dalam beberapa bahasa.


Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu hasil daripada perundingan yang dilakukan bersama institusi pengajian tinggi terkemuka di negara berkenaan.

"Dalam perundingan saya dengan universiti-universiti ternama negara China seperti Tsinghua, Peking, Shanghai Jiao Tong University, sijil UEC bukan syarat kemasukan.

"MARA mula hantar pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Beliau berkata, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) turut memperkenalkan penguasaan bahasa ketiga yang perlu dikuasai oleh pelajar sama ada bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea.

"Pelajar-pelajar MRSM yang cemerlang SPM dan dapat menguasai salah satu daripada bahasa ini akan diberikan keutamaan untuk ditaja ke universiti-universiti terkemuka dunia di negara-negara tersebut.

"Matlamatnya untuk melahirkan generasi teknokrat, profesional yang menguasai bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa ketiga samaada Mandarin, Arab, Jepun, Korea, Jerman, Perancis atau Sepanyol.

"Insya-Allah pemindahan teknologi dan kepakaran termasuk juga mewujudkan jaringan ekonomi dan perniagaan antarabangsa dengan negara-negara maju ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan pada masa akan datang apabila generasi akan datang menguasai lebih banyak bahasa," katanya.






#Sijil Peperiksaan Bersepadu #UEC #Asyraf Wajdi Dusuki #syarat kemasukan #universiti terkemuka China