MALAYSIA

UEC: Jangan terkeluar daripada kandungan Perlembagaan - KP J-KOM

Bernama 13/12/2025 | 20:15 MYT
Ismail berucap pada Majlis Peluncuran dan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Jabatan Komunikasi Komuniti J-KOM di Surau Aziziah Kampung Sungai Mati, Matang pada Sabtu. - Gambar BERNAMA
TAIPING: Sebarang cadangan yang hendak dilaksanakan berkaitan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu dipastikan tidak terkeluar daripada kandungan Perlembagaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop.


Ringkasan AI
  • Cadangan pengiktirafan UEC harus selaras dengan Perlembagaan, menurut Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop.
  • Sejarah kenegaraan dan prinsip Perlembagaan perlu difahami sebelum membuat sebarang cadangan berkaitan UEC.
  • Perlembagaan menetapkan agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai unsur rasmi Persekutuan yang harus dihormati, berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pada masa sama, katanya pihak yang mengemukakan cadangan itu juga perlu memahami sejarah kenegaraan sehingga terbentuknya Perlembagaan negara ini.

"Apa juga perkara yang hendak dilakukan, jangan terkeluar daripada apa yang terkandung dalam Perlembagaan sebab Perlembagaan itulah yang mengikat kita sebagai satu kesatuan bangsa," katanya sebagai mengulas tentang desakan supaya kerajaan mengiktiraf UEC.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Penyerahan Kampung Angkat MADANI J-KOM di Surau Aziziah, Kampung Sungai Mati, di sini, pada Sabtu berkata semua perkara yang terkandung dalam Perlembagaan haruslah dihormati.

Hal itu termasuk kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan.

"Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, agama lain boleh diamalkan? Boleh. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, bahasa lain boleh belajar tak? Belajarlah. Jadi, apa-apa pun nak bercakap... bagi saya jangan terkeluar daripada jalur itu," katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang tuntutan menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara, dengan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

-- BERNAMA





#Perlembagaan Persekutuan #Bahasa Melayu #UEC #agama rasmi