[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Ugutan video lucah: Motif politik, serangan siber masih disiasat - KPN

Hasimi Muhamad 17/09/2025 | 05:15 MYT
Mohamad Khalid (tengah) bercakap dalam sidang media di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Rabu.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan sama ada kes ugutan melibatkan video lucah berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diterima beberapa ahi politik baru-baru ini, bermotifkan politik atau serangan siber.


Ringkasan AI
  • PDRM sedang menyiasat kes ugutan video lucah berasaskan AI yang diterima oleh beberapa ahli politik, termasuk kemungkinan motif politik, kewangan atau serangan siber.
  • Setakat ini, 10 aduan diterima tetapi hanya empat laporan polis dibuat, dan siasatan masih berjalan untuk mengenal pasti dalang sebenar.
  • Antara yang menerima ugutan termasuk Rafizi Ramli, Adam Adli dan Wong Chen, dengan tuntutan bayaran sebanyak AS$100,000 melalui e-mel yang disertakan video palsu.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya sedang meneliti semua kemungkinan termasuk unsur kewangan, politik serta niat jahat individu tertentu.

Jelas beliau, setakat ini PDRM telah menerima 10 aduan berkaitan isu tersebut, namun hanya empat mangsa telah tampil membuat laporan polis.

"Untuk makluman semua kita terima 10 perkara yang berkaitan dengan isu ugutan siber tetapi cuma empat sahaja yang membuat laporan polis. Jadi kita sedang menyiasat perkara ini, segala perkembangan akan kita maklumkan kepada pihak yang berkaitan.

"(Adakah ia bermotifkan politik?) Masih dalam siasatan, sebab isu-isu yang begini kadang-kala ada pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan untuk membuat sesuatu ugutan kepada individu tertentu bagi tujuan kewangan dan sebagainya," katanya dalam sidang media di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini pada Rabu.

Pada 14 September lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan sekurang-kurangnya seramai sembilan wakil rakyat kerajaan dilaporkan menerima e-mel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan AI, selain menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000).

Antara yang menerima emel tersebut ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; ADUN Kulim, Wong Chia Zen; dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Rafizi mendedahkan menerima ugutan melalui e-mel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah, kononnya melibatkan dirinya bersama seorang lelaki.



#ugutan video lucah #ahli Parlimen #Ketua Polis Negara #Mohd Khalid Ismail #Rafizi Ramli #laporan polis #terkini