MALAYSIA
UIS perkasa pelajar era digital, sasar jadi universiti wakaf pertama negara
Temu bual bersama Mohd Farid Ravi sempena Pemasyuran UIS dan Pemasyuran Tuanku Permaisuri sebagai Canselor UIS di Kampus UIS, Bandar Seri Putra, 25 Jun 2025. --fotoBERNAMA
KAJANG: Universiti Islam Selangor (UIS) terus memacu transformasi digital dan pendidikan berteraskan nilai Islam dengan melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan, selaras keperluan pasaran kerja masa kini.
Naib Canselor UIS Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata antara usaha utama termasuk pelaksanaan Pembelajaran Digital Dalam Talian, program Kelayakan Mikro serta penaiktarafan sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi.
"Baru-baru ini, kita telah menaik taraf 11 makmal dengan kelengkapan komputer dan perisian terkini, termasuk membina studio dan bilik konti khusus bagi pelajar program komunikasi serta media menjalani latihan seperti dalam industri sebenar," katanya pada sidang media di sini semalam.
Mohd Farid Ravi berkata pendekatan UIS menggabungkan ilmu moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dengan nilai-nilai Islam bertujuan melahirkan graduan seimbang yang mampu menyampaikan ilmu, berdakwah dan menyumbang kepada masyarakat secara relevan.
UIS kini menawarkan lebih 79 program pengajian peringkat asasi hingga doktor falsafah melalui enam fakulti utama termasuk Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Fakulti Ekonomi Perakaunan dan Pengurusan serta Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran.
Mohd Farid Ravi berkata UIS yang juga institusi pengajian tinggi milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bakal dimasyhurkan secara rasmi oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 19 Julai ini, manakala Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin akan dimasyhurkan sebagai Canselor universiti berkenaan.
"Perkenan Tuanku satu penghormatan besar dan mengangkat imej UIS sebagai pilihan utama anak-anak Selangor melanjutkan pengajian," katanya.
Dalam memperluas capaian antarabangsa, Mohd Farid Ravi berkata UIS menjalin lebih 55 kerjasama strategik dengan institusi dalam dan luar negara serta merancang membangunkan kemudahan pascasiswazah di tanah seluas 13 hektar di Cyberjaya yang dikurniakan Sultan Selangor.
UIS turut menyasarkan untuk menjadikan universiti wakaf pertama di Malaysia dan memperkukuh peranan selaku universiti keusahawanan dengan memberi tumpuan ke arah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal serta pendidikan tahfiz.
"Kami menyambut seruan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melahirkan seribu pelajar tahfiz di peringkat Kemas yang memerlukan latihan berkaitan," katanya.
Ditubuhkan sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 1995, UIS dinaik taraf sebagai universiti penuh pada Oktober 2022.
-- BERNAMA
#Mohd Farid Ravi Abdullah
#Universiti Islam Selangor
#universiti wakaf
#transformasi digital
#nilai Islam