KUALA LUMPUR:Pelajar yang terkandas ataupun yang telah pulang ke kampus UiTM akan diberi bantuan RM100 secara 'one -off'.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Azizan Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Jelasnya, inisiatif itu diaktifkan bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung pelajar.

"UiTM sangat prihatin dengan kebajikan pelajar, kita telah mengambil langkah kita memahami akan kegawatan kewangan dihadapi pelajar apabila mereka terpaksa travel ke sini melibatkan sejumlah kewangan,.

"Jadi sebab itu pengurusan tertinggi UiTM telah mengambil keputusan memberi RM100 secara one-off kepada pelajar terlibat untuk meringankan beban mereka," katanya.

Dalam pada itu, yuran kolej kediaman bagi bulan Oktober juga dikecualikan.

"Kita juga beri pengecualian yuran kolej sehingga bulan Oktober ini bagi kolej-kolej yang mereka (pelajar) duduki itu, ini merupakan sumbangan UiTM meringankan beban ini," jelasnya.

Mengulas mengenai tularnya di media sosial beberapa gambar dan dakwaan UiTM menghalau pelajar yang tiba di kolej kediaman,Azizan berkata terdapat salah faham berlaku.

Ujarnya, UiTM tidak pernah menghalau atau menghalang mana-mana pelajar yang telah tiba di kolej kediaman mereka.

Sebaliknya, UiTM membenarkan setiap pelajar menggunakan kemudahan yang telah disediakan.

"Terdapat salah faham dalam kalangan pelajar sendiri, sebenarnya kita tidak pernah menghalau atau menghalang pelajar pelajar UiTM daripada mendaftar di kolej masing masing secara fizikal, kerana UiTM sangat prihatin dengan kebajikan pelajar.

"Jadi bila pelajar datang kita beri pilihan kepada mereka sebenarnya, jika mereka memilih untuk berada di kolej atau memilih menjalankan Open Distance Learning (ODL) ke kampung masing-masing kita benarkan," jelas Azizan.